Pasangan suami isteri dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi mendapatkan permohonan reman.

BUTTERWORTH – Polis Pulau Pinang sedang mendapatkan pengesahan berhubung status perkahwinan pasangan lelaki dan wanita yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung tindakan mereka yang mengundang bahaya terhadap penunggang motosikal di atas Jambatan Pulau Pinang.

Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pengesahan awal dan pengakuan lisan mereka berdua mengaku suami isteri.

“Bagaimanapun, maklumat terbaru kita terima suspek lelaki ini telah convert (peluk) Islam manakala suspek wanita pula masih berbangsa Cina.

“Kalau ikut undang-undang apabila lelaki (Cina) masuk Islam automatik isteri pun Islam. Hal ini kita akan confirm (sahkan) kemudian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Op Selamat 21/2024 Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua arah selatan di sini.

Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, pihaknya akan tetap meneruskan siasatan terhadap dua suspek tersebut meskipun suspek wanita itu dikatakan pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Kita akan semak kad OKU itu namun suka saya tegaskan bahawa tindakan mereka tetap menjadi satu kesalahan.

“Malah, berdasarkan semakan, suspek lelaki dan wanita ini ada tiga rekod jenayah lampau,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Wanita OKU, suami direman kes tendang penunggang motosikal

Pasangan suami isteri undang bahaya terhadap penunggang motosikal diberkas

Terdahulu, wanita yang juga pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) dan lelaki yang didakwa suaminya direman selama empat hari bagi membantu siasatan ugutan jenayah susulan tindakan mereka yang mengundang bahaya terhadap penunggang motosikal di atas Jambatan Pulau Pinang.

Perintah reman terhadap wanita berusia 37 tahun dan suaminya, 50, itu dikeluarkan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan bermula hari ini sehingga 10 Februari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast