Tangkap layar menunjukkan pasangan suami isteri melakukan tindakan yang mengundang bahaya kepada penunggang motosikal di atas Jambatan Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM – Pasangan suami isteri yang mengundang bahaya terhadap penunggang motosikal di atas Jambatan Pulau Pinang dari arah pusat bandar menghala Seberang Perai diberkas polis hari ini.

Tangkapan ke atas lelaki berusia 50-an dan isterinya, 30-an yang dipercayai pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) itu dilakukan di pusat bandar pada tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, bertindak atas video tular yang dimuat naik pemilik akaun Facebook @FaizulJojoe pihaknya melakukan tangkapan ke atas pasangan tersebut.

Suspek wanita dipercayai pemegang kad OKU.

Jelas beliau, berdasarkan video tersebut pihaknya mendapati dua suspek itu merupakan pelaku dan mereka  dilihat bertindak membaling objek disyaki pasir serta cuba menendang motosikal yang ingin memotong mereka ketika melalui jambatan tersebut.

“Siasatan terhadap pasangan itu dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Semakan rekod jenayah juga mendapati kedua-dua mereka mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes ugutan jenayah pada 2021 dan tahun ini.

“Pasangan itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok bagi permohonan reman terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian diminta tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di talian 04 538 2222 bagi membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Penunggang motosikal diacu pisau, ditendang dan libas dengan pasangan OKU

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, tindakan seorang lelaki dan wanita mengacu pisau serta menendang penunggang motosikal yang melalui Jambatan Pulau Pinang mengundang kegusaran orang ramai.

Berdasarkan perkongsian rakaman video berdurasi lebih satu minit di aplikasi X itu mendapati kejadian tersebut bukan pertama kali berlaku membabitkan individu sama. – MalaysiaGazette