Gunung Ruang masih aktif memuntahkan lahar. Foto Center for Volcanology and Geological Hazard Mitigation, Mount Ruang, Indonesia

HULU SELANGOR – Kementerian Pengangkutan memantau rapi perkembangan terkini situasi Gunung Ruang, Indonesia yang dilaporkan meletus sebanyak tiga kali semalam dan mengakibatkan abu merebak ke negara ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata setakat ini letusan gunung berapi berkenaan telah menjejaskan sedikit ruang udara di Tawau, Sabah  sehingga menyebabkan beberapa penerbangan ke daerah itu terpaksa dilencongkan ke Kota Kinabalu semalam.

Beliau berkata sebarang keputusan termasuk melibatkan penutupan ruang udara dan mana-mana lapangan terbang negara akan diputuskan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dengan mengambil kira faktor keselamatan.

“CAAM ada hak untuk membuat keputusan jika ada keperluan untuk tutup ruang udara negara dan lapangan terbang. Itu kuasa mereka bukan menteri, (dan) mereka hanya perlu maklum keputusan itu kepada menteri sahaja.

“Kalau situasi itu (letusan) tidak menjejaskan ruang udara kita, buat apa nak tutup dan saya fikir tindakan menutup lapangan terbang itu hanyalah langkah terakhir yang akan diambil sekiranya perlu,” katanya di sini hari ini.

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP ditemui pemberita selepas mengadakan aktiviti kempen bersama calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) di sini.

Turut hadir Menteri Digital yang juga Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo.

Media antarabangsa hari ini melaporkan Gunung Ruang sekali lagi meletus semalam, dengan kali ini sebanyak tiga kali letusan.

Gunung berapi berkenaan pernah meletus pada 18 April lepas dan mengakibatkan beberapa jadual penerbangan dalam negara ditangguhkan sehingga menjejaskan puluhan ribu penumpang.

Letusan dari Gunung Ruang itu kali ini dilaporkan memuntahkan lahar dan abu lebih lima kilometer ke udara dengan agensi meteorologi Indonesia, Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) melaporkan abu gunung berapi sampai ke timur Malaysia di pulau Borneo, yang dikongsi dengan Indonesia dan Brunei.

Penyedia kawalan trafik udara milik kerajaan, AirNav Indonesia pula dalam satu notis memaklumkan tujuh lapangan terbang terpaksa ditutup susulan letusan terbaharu itu dengan yang terbesar di ibu kota wilayah Manado dan bandar Gorontalo.

Sementara itu, Loke berkata, kerajaan mengambil maklum mengenai permintaan penduduk di Kuala Kubu Baharu untuk memperkasakan lagi kemudahan pengangkutan awam di kawasan berkenaan.

“Kita lihat ada keperluan untuk tambah baik iaitu yang pertama berkaitan bas dan kedua KTM (Keretapi Tanah Melayu Berhad) kerana di sini penggunanya ada di pekan, kampung, bandar baharu dan perumahan taman.

“Jadi kita juga melihat keperluan perkhidmatan (untuk) bas pengantara disambung dengan KTM. Kita akan beri perhatian dan usahakan kemudahan ini dan kita juga akan cuba memperbaiki kemudahan komuter dari kawasan ini ke Lembah Klang,” katanya. –   BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast