Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dicabar untuk bermalam di kawasan pedalaman atau rumah panjang bagi merasai sendiri kepayahan pelajar mendapatkan pendidikan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi membuat cabaran susulan laporan Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills yang memberi gambaran pembelajaran murid Malaysia ketinggalan berbanding pelajar Vietnam.

Ini walaupun perbelanjaan besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK).

Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit itu berkata, sebagai seorang yang memikul tanggungjawab sebagai menteri, Fadhlina tidak seharusnya malas.

“Kepada Menteri Pendidikan sudilah bermalam di rumah panjang atau kawasan pedalaman. Saya cabar. Jangan jadi menteri malas,” katanya dalam kenyataan.

Bank Dunia melaporkan bahawa hanya 58 peratus pelajar di Malaysia mahir membaca pada usia tahun lima dan mendedahkan sistem pendidikan negara ketinggalan berbanding negara serantau seperti Vietnam.

Mohd Puad berkata, Bank Dunia telah memberi jawapan konkrit yang menyebabkan situasi tersebut berlaku di Malaysia.

Kementerian Pelajaran sepatutnya memberi fokus terhadap punca dan mencari cara lebih efektif untuk mengatasinya.

“Antaranya akses terhad kepada pendidikan pra sekolah berkualiti khususnya di kawasan pedalaman. Masih ramai anak anak pedalaman tidak masuk pra sekolah.

“Di Malaysia jumlah sekolah kategori pedalaman masih banyak. Sekolah pedalaman adalah sekolah serba kekurangan.

“Masalah paling rumit ialah sekolah terlalu jauh. Ada yang berjalan kaki dan naik bot untuk ke sekolah.Maka mereka perlu tinggal di asrama desa kalau mahu ke sekolah,” kata Mohd. Paud.

Laporan itu juga menyatakan hanya 58 peratus pelajar di Malaysia didapati mahir membaca menjelang akhir Darjah Lima, jauh lebih teruk dari rakan serantau (34 peratus dalam ekonomi yang serupa).

Pelajar Malaysia juga dilaporkan menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah tetapi pembelajaran bersamaan dengan hanya 8.9 tahun.

Sebaliknya, pelajar Vietnam mencapai 10.7 tahun pembelajaran dalam jangka masa yang sama, menurut laporan itu.- MalaysiaGazette