Zulfadli Zakariah

KUANTAN – Tindakan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal terlibat dalam perlawanan bola sepak dengan bukan jantinanya  mengundang kecaman oleh pihak pembangkang.

Naib Ketua Pemuda Pas Pahang, Zulfadli Zakariah berkata, pihaknya kecewa apabila dengan tindakan yang disifatkan tiada segan silu mempromosi pergaulan tanpa batasan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram walaupun dalam acara sukan.

Zulfadli berharap agar budaya sukan yang sihat di negeri ini dipupuk dengan memelihara adab dan menjaga hukum dalam melahirkan atlet bagi mengharumkan nama Pahang dalam arena itu

”Kami melihat perbuatan sebegini tidak mencerminkan budaya ketimuran dan amat memalukan bagi seorang pemimpin Islam khususnya pemimpin yang memegang portfolio belia, adakah ini budaya yang ingin di sajikan kepada anak muda di Pahang?

”Perbuatan sebegini jelas sama sekali tidak dibenarkan dalam Islam. Untuk makluman YB (Yang Berhormat) Exco tidak salah untuk bersukan tetapi Islam meletakkan panduan dan batasan dalam bersukan.

”Adakah di Negeri Pahang ini sudah tiada pasukan bola sepak yang boleh dipanggil untuk melakukan perlawanan persahabatan? ”soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Zullfadli berharap perbuatan yang dianggap budaya songsang sebegini tidak dinormanilasasikan di negeri ini.

Terdahulu, pada Sabtu lalu, Fadzli memaklumkan sudah menjadi rutin untuknya turun padang menyertai sesi latihan bersama para atlet dalam memantau persiapan yang dilakukan oleh kontinjen negeri ini bagi menghadapi SUKMA Sarawak pada Ogos ini.

Dalam video berdurasi satu minit 37 saat itu memaparkan Fadzli turun beraksi dalam perlawanan persahabatan bersama pasukan bola sepak SUKMA Wanita di Stadium Darul Makmur bagi menguji prestasi skuad berkenaan.

Tambah Fadzl, ia sudah menjadi tanggungjawab beliau yang menjaga portfolio sukan sebagai persiapan selain meletakkan sasaran 40 pingat emas pada  temasya itu bukan tergalas kepada atlet dan jurulatih semata-mata. – MalaysiaGazette