BATU PAHAT – Amalan MCA meminjamkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen untuk komponen Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya bukan perkara baharu sebaliknya sudah lama dipraktikkan.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, langkah tersebut merupakan satu strategi untuk BN menang mana-mana pilihan raya peringkat negeri atau pilihan raya umum.
Jelas Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, namun keputusan tersebut hanya boleh diputuskan presiden-presiden parti komponen atau gabungan melalui perbincangan yang akan diadakan bagi menilai kewajaran tindakan itu.
“Beberapa kerusi seperti di Cameron Highland di Pahang dan Duyung di Melaka adalah merupakan kerusi yang dipinjam daripada MCA dan hasilnya ia mendapat sokongan padu pengundi malah sukar untuk dikalahkan lawan.
“Bagaimanapun, jika kawasan itu benar-benar tidak mempunyai calon kebolehan untuk memenangi pilihan raya manakala penggantinya mempunyai peluang besar untuk menang, ia tidak salah untuk diberikan pinjaman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen MCA Negeri Johor di Dewan Persatuan Memperbaiki Akhlak Che Ann Khor di Yong Peng di sini, hari ini.
Ka Siong yang juga Pengerusi MCA Johor mengulas hasrat UMNO Bahagian Kluang meminjam kerusi MCA bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Katanya, MCA terbuka `menjual’ atau meminjamkan kerusi tradisi kerana semuanya bergantung dengan keadaan di sesebuah kawasan dan diputuskan melalui perbincangan.
Menurutnya, dalam BN semua perkara yang mahu dilakukan untuk menang pilihan raya perlu melalui perbincangan manakala untuk ‘membayarnya’ juga ada cara tertentu akan dilakukan.
Padah 3 Ogos lalu, portal ini melaporkan UMNO Bahagian Kluang mengusulkan agar MCA meminjamkan kerusi Parlimen Kluang kepada parti itu pada PRU-16.
Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday dilaporkan berkata, cadangan yang dibawa melalui usul dalam Persidangan UMNO bahagian itu adalah satu strategi merampas kembali kawasan berkenaan daripada parti DAP dalam PRU-16.- MalaysiaGazette
















