Pemandangan Menara Berkembar yang dicemari jerebu dengan bacaan IPU tidak sihat berikutan aktiviti pembakaran hutan secara meluas di Kalimantan, Indonesia, ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2026.

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan 1,418 tindakan penguatkuasaan dan pemantauan di seluruh negara sepanjang situasi jerebu dari 3 Ogos hingga 13 Sept lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS Azuri Azizah Saedon berkata tindakan itu merangkumi 978 aktiviti pemantauan, 83 arahan di lapangan, 31 Notis Arahan, 305 kes yang dirujuk kepada agensi lain untuk tindakan lanjut, 11 tindakan kompaun ditawarkan serta 10 tindakan carian hak milik tanah bagi membantu proses siasatan dan tindakan mahkamah.

“Langkah ini menunjukkan komitmen berterusan JAS dalam mengesan, mencegah dan mengambil tindakan terhadap aktiviti pembakaran terbuka serta punca-punca pencemaran yang berpotensi menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara sepanjang episod jerebu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan turut diperkukuh melalui pemeriksaan dan rondaan di kawasan yang dikenal pasti berisiko termasuk kawasan pertanian, tanah gambut, kawasan ladang, tapak pelupusan sampah serta lokasi yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka.

Sekiranya kesalahan dikenal pasti, beliau berkata tindakan susulan akan diambil berdasarkan hasil pemeriksaan, siasatan dan bukti yang diperoleh di lapangan.

Dalam pada itu, Azuri Azizah berkata bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada 3 petang hari ini menunjukkan 37 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat, dengan Johan Setia di Selangor merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 184, diikuti Cheras, Kuala Lumpur (175), Nilai, Negeri Sembilan (172) serta Putrajaya dan Shah Alam masing-masing mencatatkan bacaan IPU 171.

Beliau berkata keadaan itu berlaku dalam persekitaran cuaca kering yang berterusan di sebahagian Rantau Selatan ASEAN dan berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam, sebanyak 240 titik panas dikesan di Kalimantan, 355 di Sumatera dan satu titik panas dikesan di Malaysia iaitu di Sabah.

“ASMC turut melaporkan jerebu rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan di Kalimantan, Sumatera, Semenanjung Malaysia, Singapura serta bahagian selatan Vietnam dan Kemboja,” katanya.

Sementara itu, Azuri Azizah berkata JAS memberi perhatian khusus terhadap kejadian kebakaran di Sarawak, khususnya yang melibatkan kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah berikutan risiko kebakaran yang lebih tinggi dalam keadaan cuaca panas dan kering.

“Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Selalang, Sarikei melibatkan kawasan seluas 1.5 hektar. Setakat hari ini, kira-kira 1.3 hektar (87 peratus) telah berjaya dipadamkan, manakala baki 0.2 hektar masih dalam tindakan pemadaman.

“JAS Sarawak akan terus melaksanakan pemantauan di lokasi kebakaran, termasuk menggunakan dron bagi mendapatkan gambaran terkini mengenai status kebakaran dan keluasan kawasan yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata pemantauan kualiti udara turut dilaksanakan bagi menilai potensi kesan kebakaran terhadap kualiti udara setempat manakala tindakan susulan akan diambil berdasarkan keadaan di lapangan dan hasil penilaian bersama agensi berkaitan.

Pada masa sama, Azuri Azizah berkata pemantauan bacaan IPU, titik panas dan perkembangan jerebu rentas sempadan akan diteruskan dengan mengambil kira maklumat meteorologi sebagai input dalam penilaian situasi serta penyelarasan tindakan pengurusan jerebu di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Beliau berkata tindakan dilaksanakan secara bersepadu selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), yang antara lain menetapkan pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) antaranya apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here