P. Ramasamy

KUALA LUMPUR:  Pengerusi Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P Ramasamy berpendirian bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sepatutnya didakwa sejak awal lagi.

Menurutnya, pertuduhan terhadap Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu tanpa diragui mempunyai unsur pendakwaan terpilih kerana beliau berada di pihak pembangkang.

Sehubungan itu, katanya, adalah sesuatu yang melegakan apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak empat pertuduhan terhadap Muhyiddin, iaitu tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan Bukhary Equity Sdn Bhd.

Dakwa beliau, empat pertuduhan terhadap Muhyiddin itu merupakan contoh jelas pendakwaan terpilih.

“Terdapat spekulasi bahawa pihak pendakwaan sedang mempertimbangkan semula pertuduhan terhadap Muhyiddin atas sebab-sebab politik.

“Terdapat juga spekulasi bahawa Bersatu mungkin akan menjalin kerjasama dengan PH dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, memandangkan wujudnya hubungan yang tidak baik antara Pas dan Bersatu, mungkin terdapat tawaran kepada Bersatu untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, ujarnya, semua itu hanyalah spekulasi tanpa asas yang kukuh.

Jelasnya, hakikat bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai bukti konkrit berhubung pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa bermakna dakwaan bahawa pihak pendakwaan bersikap lembut terhadap Muhyiddin hanyalah imaginasi liar pihak yang memusuhi Bersatu.

“Diharapkan tiga lagi pertuduhan salah guna kuasa tersebut akan digugurkan supaya Muhyiddin dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam politik Malaysia.

“Pertuduhan yang masih berbaki terhadap Muhyiddin jelas bersifat politik,” katanya.

Semalam, Muhyiddin dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi di sini, daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin, memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pembelaan supaya empat daripada tujuh kes dihadapi Muhyiddin diberi perintah DNA.  – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here