KUALA LUMPUR – Sebarang percubaan yang boleh mengancam keselamatan dan kesucian Makkah al-Mukarramah tidak boleh diterima sama sekali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menzahirkan dukungan dan menghargai tindakan pantas Kerajaan Arab Saudi dalam memastikan keselamatan penduduk dan para jemaah di Makkah terus terpelihara.
“Saya mengikuti laporan mengenai sebuah dron yang berjaya dipintas berhampiran Makkah al-Mukarramah.
“Sebarang percubaan yang boleh mengancam keselamatan dan kesucian kota paling suci umat Islam ini tidak boleh diterima sama sekali,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, pertahanan udara Arab Saudi memintas dan memusnahkan sebuah dron yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi di Yaman berhampiran Makkah, menurut pakatan diketuai Arab Saudi pada awal Rabu, lapor Anadolu Ajansi.
Jurucakap pakatan itu, Turki al-Malki berkata, dron berkenaan dipintas kira-kira 6.50 petang waktu tempatan pada Selasa sebelum sempat memasuki ruang udara larangan, dengan serpihannya jatuh di selatan bandar itu.
Anwar juga berkata, insiden berkenaan sekali lagi mengingatkan semua pihak mengenai keperluan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan lebih meruncing di rantau berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar segala serangan terhadap kawasan awam dihentikan serta-merta, termasuk sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan dan kesucian tempat-tempat suci.
“Semua pihak yang terlibat harus memilih jalan damai menerusi dialog bagi meredakan ketegangan serta mencari penyelesaian tanpa berlengah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















