Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemubual dalam Podcast Sembang Ohh Yeahh sempena Hari Malaysia di Facebook rasminya, hari ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui realiti memimpin Malaysia hari ini tidak sama dengan gambaran perjuangan Reformasi yang dibawanya sebelum ini.

Anwar berkata, perkara itu berlaku kerana kerajaan hari ini merupakan kerajaan campuran yang memerlukan rundingan dengan pelbagai parti.

“Sebenarnya, Keadilan dan Harapan itu, 81 dari 222. Jadi, saya kena runding dengan parti-parti besar yang lain.

“Antara parti yang perlu dirunding termasuk UMNO-Barisan Nasional, GPS dan GRS selain parti dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam podcast Sembang Ohh Yeahh sempena Hari Malaysia di Facebook rasminya hari ini.

Menurutnya, selepas mengambil alih kerajaan, keutamaan pertama bukan untuk melakukan tindakan menentang pihak tertentu tetapi mengukuhkan ekonomi negara.

“Bukan nak menentang. Kukuhkan ekonomi,” katanya.

Anwar berkata, ketika kerajaan mengambil alih, Malaysia baru melalui pandemik Covid-19 dengan kehilangan pekerjaan, pelaburan terjejas dan keadaan ekonomi yang sukar.

Katanya, kerajaan kemudian memberi tumpuan kepada kestabilan politik bagi meningkatkan keyakinan pelabur.

“Kita buat dasar-dasar perindustrian baharu, dasar pelaburan tenaga, dasar untuk teknologi maklumat dan AI (kecerdasan buatan),” katanya.

Anwar turut menyenaraikan bantuan kepada rakyat termasuk STR dan SARA, selain peruntukan membaiki sekolah, tandas serta kuarters anggota keselamatan.

Beliau berkata, keadaan rakyat miskin juga perlu diberi perhatian.

“Orang yang paling miskin… yang makan tak tentu. Bayangkan saya nak hidup selesa, kemudian orang susu anak belum tentu.

“Sebab itu kita bagi SARA, STR,” katanya.

Anwar berkata, perubahan juga berlaku di Parlimen melalui pelaksanaan Prime Minister’s Question Time yang membolehkan Perdana Menteri berdepan soalan secara langsung.

“Mana pernah ada Perdana Menteri itu orang tanya. Bam, bam, bam, balun. Satu jam,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Saya mampu ditegur. Saya banyak ditegur,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here