Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri di Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (kiri) merasmikan Peluncuran Sistem Pengambilan UP_TVET di Bangunan Perdana Menteri, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 20 MEI 2024.

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan tiada permohonan dalam pengambilan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan ditolak.

Kata beliau, kesemua permohonan akan dipadankan oleh sistem Unit Pengambilan (UP_TVET) berdasarkan kepada kelayakan minimum calon.

“Saya minta (Sekretariat TVET) agar jangan seorang (permohon) pun berkecil hati (tidak) memperoleh tempat di TVET.

“Walaupun tidak ada sijil akademik dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka akan diterima di mana-mana institusi TVET negara ini dan turut menumpukan taraf pendidikan TVET yang tinggi pada kursus yang terlibat seperti AI (Kecergasan Buatan), IOT (Internet of Things), robotik, EV (Kenderaan elektrik) dan kursus-kursus yang relevan dengan permintaan industri,” katanya dalam ucapan selepas merasmikan sistem pengambilan UP-TVET di bangunan Perdana Putra hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Peluncuran Sistem Pengambilan UP_TVET di Bangunan Perdana Menteri, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 20 MEI 2024.

Jelas Ahmad Zahid lagi, sistem dalam UP_TVET akan memberikan padanan mengikut kelayakan pemohon untuk menempatkan semua permohonan.

“Kita menjangkakan bahawa 30,000 tempat yang ditawarkan ini, saya khuatir akan ikut trend lama akan dimohon lebih 100,000 permohonan,” jelas Ahmad Zahid lagi.

UP_TVET jelas Pengerusi Majlis TVET itu menawarkan dua kategori permohonan iaitu ambilan perdana dua kali setahun iaitu Januari dan Julai serta ambilan sepanjang tahun.

Penggunaan saluran tunggal UP_TVET yang fleksibel, kata Ahmad Zahid akan mengambil kira keperluan pelbagai syarat masuk merupakan satu inisiatif untuk membuka ruang seluanya kepada rakyat Malaysia untuk menyertai program TVET.

“Salah satu ciri UP_TVET ialah institusi-institusi akan menawarkan kursus kepada calon dan calon berpeluang untuk mendapat lebih dari satu tawaran.

“Pada akhirnya, calon boleh memilih untuk bersetuju terima hanya satu tawaran sahaja,” katanya lagi.

Untuk rekod, portal UP_TVET adalah dibangunkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan memulakan operasinya sejak Oktober tahun lalu. – MalaysiaGazette