Pasangan suami isteri dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi mendapatkan permohonan reman.

BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita yang juga pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) dan suaminya direman selama empat hari bagi membantu siasatan ugutan jenayah susulan tindakan mereka yang mengundang bahaya terhadap penunggang motosikal di atas Jambatan Pulau Pinang.

Difahamkan, status perkahwinan pasangan itu masih dalam siasatan susulan lelaki tersebut dikatakan telah memeluk Islam.

Perintah reman terhadap wanita berusia 37 tahun dan suaminya, 50, itu dikeluarkan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan bermula hari ini sehingga 10 Februari.

Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Suspek berpakaian lokap diiring polis bagi mendapatkan perintah reman.

Terdahulu, pasangan suami isteri yang berpakaian lokap tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kira-kira jam 8.30 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Penunggang motosikal diacu pisau, ditendang dan libas dengan pasangan OKU

Pasangan suami isteri undang bahaya terhadap penunggang motosikal diberkas

Media semalam melaporkan, sepasang suami isteri yang mengundang bahaya terhadap penunggang motosikal di atas Jambatan Pulau Pinang arah pusat bandar menghala Seberang Perai diberkas polis.

Tangkapan ke atas lelaki dan isterinya itu dilakukan di sekitar Komtar pada tengah hari.

Suspek lelaki (depan) dibawa berasingan bagi mendapatkan permohonan reman.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, tangkapan dibuat susulan tular video memaparkan kejadian pasangan berkenaan menunggang dalam keadaan bahaya selain pemboncengnya bertindak membaling sesuatu objek disyaki pasir serta cuba menendang pengguna motosikal yang ingin memotong motosikalnya.

“Siasatan terhadap pasangan itu dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Semakan rekod jenayah juga mendapati kedua-dua mereka mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes ugutan jenayah pada 2021 dan tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette