Lima kru warga Indonesia ditahan oleh Maritim Malaysia setelah dipercayai memiliki dokumen pengenalan diri dan beberapa dokumen bot yang meragukan ketika rodaan Op Makmur dan Op Tiris baru-baru ini.

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah bot kargo bersama muatan pasir lebih kurang 21,000 tan metrik atas kesalahan belayar tanpa Pas Pelepasan Pelabuhan Selasa lalu.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, pasukan bot peronda Maritim Malaysia melaksanakan rondaan OP Makmur  dan OP Tiris di perairan Kuantan telah mengesan sebuah bot yang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Bot berkenaan ketika itu sedang menuju ke Pelabuhan Kuantan dan seterusnya ditahan di Perairan Kuala Pahang sekitar pukul 12.40 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot disyaki bot kargo menggunakan nombor pendaftaran RIBATH 1 gagal mengemukakan sebarang dokumen Port Clearance semasa pelayaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Lima kru telah ditahan merupakan warga Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 56 tahun dan kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri dan beberapa dokumen bot yang meragukan.

Kamal Ariffin berkata, bot kargo dan lima kru tersebut diiring ke Jeti Kuantan Slipway untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan dokumen Pas Pelepasan Pelabuhan semasa pelayaran dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim terutamanya industri perkapalan dan nelayan sentiasa mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan mereka apabila berada di laut dengan pemakaian jaket keselamatan serta diingatkan supaya menjauhi sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasandi laut orang ramai boleh melaporkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk maklum balas segera. – MalaysiaGazette