IPOH – Polis sudah mengambil keterangan pemandu kepada seorang menteri susulan hantaran tular di media sosial melibatkan kenderaan rasmi menteri yang didakwa mengekori ambulan dalam perjalanan ke lokasi kemalangan di Kilometer 305 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) antara Simpang Pulai menghala ke Tapah, pada 3 Februari lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya juga akan memanggil saksi awam lain bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup PLUS dan rakaman papan pemuka ambulan yang terbabit bagi melengkapkan siasatan.
“Siasatan awal yang dijalankan, kita mengesahkan kenderaan yang ditularkan dipandu seorang lelaki yang bekerja sebaagai pemandu kepada menteri.
“Sewaktu kejadian, menteri terbabit dalam perjalanan ke sebuah program, kebajikan yang akan dilangsungkan di rumah pangsa Jalan Silang di Ipoh.
“Bagaimanapun, menteri tersebut tidak sempat menghadiri program tersebut kerana kesesakan berlaku akibat kemalangan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 9 (2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Justeru, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam siasatan.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut supaya berhbung dengan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 016-417 3222 untuk membantu siasatan,” jelasnya.
Dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan termasuk tiga treler di laluan Plus antara Gopeng-Simpang Pulai yang berlaku di Kilometer 288.1 pada 3 Februari lalu, aliran trafik kenderaan dilaporkan sesak lebih lapan jam malah langsung terhenti hampir enam jam. – MalaysiaGazette