Penduduk perumahan Desa Melor, Serendah, Razuah Norrani @ Abd Ghani menunjukkan kesan retak struktur kesan letupan pembinaan terowong ECRL.

SERENDAH – Belum pun reda trauma akibat tragedi tanah runtuh di Taman Idaman di sini, kira-kira tujuh tahun lalu, kini penduduk perumahan berdekatan pula diancam risiko sama, struktur kediaman terjejas dan tembok penahan tanah tepi bukit retak menanti belah hingga mengalirkan air.

Tinjauan MalaysiaGazette baru-baru ini di Desa Melor di sini mendapati, retakan dan rekahan itu dipercayai berpunca daripada aktiviti letupan bagi pembinaan terowong landasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kira-kira 200 meter dari kawasan perumahan itu.

MalaysiaGazette dimaklumkan, kerja-kerja pembinaan terowong kereta api laju bagi penumpang sejak setahun lalu telah menyebabkan kira-kira 60 dari 848 unit kediaman terjejas dengan kesan keretakan pada siling, dinding dan struktur utama.

Penduduk Desa Melor mendakwa, projek pembinaan terowong itu juga menyebabkan berlaku pergerakan tanah dan air bukit mengalir keluar dari celah tembok rumah akibat gegaran daripada letupan.

Keadaan itu mengganggu penduduk perumahan terbabit sekiranya berlaku tanah runtuh seperti mana terjadi di Taman Idaman, di sini, November 2016.

Penduduk perumahan Desa Melor, Serendah, Razuah Norrani @ Abd Ghani menunjukkan kesan rekahan tembok penahan tanah tepi bukit akibat letupan pembinaan terowong ECRL.

Menurut seorang penduduk, Razuah Norrani @ Abd Ghani, 48, kerja-kerja letupan itu menyebabkan kehidupan dia dan jiran sekeliling tidak seperti dahulu yang tenang daripada kesibukan kota dan bersebelahan tanah tinggi.

“Semakin hari semakin kuat bunyi letupan disebabkan pembinaan ECRL. Walaupun jauh (di atas bukit), impaknya tetap kami terima.

“Boleh dikatakan setiap hari termasuk hujung minggu, bahkan tengah malam pun projek itu masih berjalan, mungkin kontraktor nak siapkan bina terowong ini tanpa pedulikan keselamatan penduduk.

“Tempoh hari, wakil ECRL ada melawat rumah terjejas dan rumah saya antara yang terawal dalam senarai baik pulih.

“Malangnya pihak berkuasa tidak meninjau pun keadaan kami,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Penduduk perumahan Desa Melor, Serendah, Rozaini Rosly bercakap kepada MalaysiaGazette mengenai kerosakan struktur rumah akibat kerja-kerja letupan terowong projek ECRL, baru-baru ini.

Bagi seorang pesara kerajaan, Rozaini Rosly, 63, dia sekeluarga mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam kerana kediamannya kerap bergegar akibat daripada kerja-kerja letupan projek ECRL.

“Bila malam khususnya waktu maghrib letupannya agak kuat sampai duduk atas katil boleh rasa gegaran, tapi bukan sentiasa, letupan itu off dan on.

“Kita tak tahu kerja-kerja letupan itu sampai bila, keselamatan kita ini terjamin atau tidak, kemudian kita tak tahu bila boleh baiki kerosakan rumah.

“Kita nak kontraktor ECRL ini bertanggungjawab atas apa juga kerosakan yang telah mereka lakukan,” katanya.

Rozaini berkata, kehidupan dia semakin sukar khususnya untuk menjaga suaminya, Md Razak Mokhtar, 68, yang kini terlantar di rumah selepas menghidapi penyakit angin ahmar sejak 2010.

“Sebelum ini saya tinggal di Shah Alam namun selepas bersara pindah, kami pindah ke sini dan menetap di sini sejak 18 tahun lalu sebab nak ketenteraman dan ketenangan,” katanya.

Rozaini mendakwa, lebih malang apabila pihak berkuasa tidak membuat sebarang pemeriksaan yang menyeluruh ke atas kediaman mereka yang terjejas.

“Jika dibaik pulih sekali pun, ia hanya ‘kosmetik’ sahaja. Takkan kita sebagai pemilik nak keluar modal sendiri?” katanya.

Penduduk perumahan Desa Melor, Serendah, Nohaizan Yahya bercakap kepada MalaysiaGazette mengenai kerosakan struktur rumah akibat kerja-kerja letupan terowong projek ECRL, baru-baru ini.

Sementara itu, Nohaizan Yahya, 70, pula memaklumkan dia terpaksa membayar bil air hampir RM1,000 gara-gara paip rumahnya pecah dipercayai disebabkan berlaku pergerakan tanah akibat projek pembinaan itu.

“Sudahlah terpaksa bayar bil air yang tinggi, bahkan terpaksa menanggung kos pembaikan kira-kira RM500.

“Moga pembinaan ECRL ini segera disiapkan supaya tiada lagi mudarat kepada kami yang mahukan keadaan kembali kepada asal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast