Komisioner Khaw Kok Chin .

GEORGE TOWN – Lima anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah yang disyaki terlibat dalam kes pemerasan pekerja kilang berjumlah RM4,500 akan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok.

Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya telah menerima arahan daripada Pejabat Pendakwa Negeri (PPN) untuk mendakwa kesemua anggota tersebut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Pertuduhan lima anggota MPV esok itu bukti pihak polis telus dalam menjalankan siasatan meskipun ia membabitkan anggota sendiri.

“Kita tidak pernah dan tidak akan berkompromi dengan pegawai atau anggota yang didapati terlibat dalam jenayah termasuk penyalahgunaan dadah serta rasuah.

“Pihak polis akan terus memberikan perkhidmatan terbaik buat semua masyarakat seperti mana slogan ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’ yang diguna pakai selama ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Lima anggota MPV ditahan peras ugut pekerja kilang RM4,500

Kertas siasatan lima anggota MPV peras ugut diteliti Bukit Aman

MalaysiaGazette pada Sabtu lalu melaporkan, lima anggota polis termasuk seorang berpangkat Sarjan diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kes peras ugut RM4,500 daripada seorang pekerja kilang dalam kejadian di Jalan Permatang Tinggi di Bukit Mertajam.

Mereka ditahan terdiri daripada seorang Sarjan berusia 48 tahun serta dua koperal berumur 35 dan 38 tahun.

Turut ditahan masing-masing dua Lans Koperal berusia 24 dan 30 tahun. – MalaysiaGazette