KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya meminda akta dan peraturan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyekat kebebasan guru untuk menyuarakan pandangan mengenai kelemahan dalam sistem pendidikan dan pelaksanaan di kementerian itu.
Akta dan peraturan berkenaan didakwa telah membataskan seseorang guru ungtuk lebih kreatif dan meneroka dalam pengajaran mereka.
Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh berkata, akta dan peraturan berkenaan menyebabkan beberapa pendidik cemerlang termasuk penerima anugerah Guru Adiwira Kebangsaan tawar hati untuk terus berada dalam sistem pendidikan.
Beliau mendedahkan pemenang Anugerah Hadiah Guru Global 2020 Samuel Isaiah yang diakui dan diketahui dalam kalangan guru-guru dan masyarakat kerana kreativiti beliau dalam mengajar bahasa Inggeris kepada murid orang asli juga telah meletakkan jawatan.
Keputusan Cikgu Samuel itu adalah satu kerugian, dakwa Cikgu Mohd Fadli lagi.
Katanya, Samuel mengambil tindakan itu kerana merasakan sistem KPM menyekat dirinya untuk menjadi lebih kreatif dan meneroka lebih jauh.
“Satu kehilangan yang sangat besar bagi dunia pendidikan. Seorang guru yang ikhlas mengajar. Dikasihi oleh murid-murid. Dikagumi rakan-rakan guru lain. Beliau kini menyertai sebuah badan bukan kerajaan berkaitan pendidikan
“Ada beberapa guru adiwira menyuarakan mahu keluar daripada sistem pendidikan. Terlalu banyak akta mengikat guru untuk kreatif dan bersuara.
“Kalau ada pengawai KPM dan menteri sedang menonton, tolong lakukan sesuatu unuk guru-guru yang bagus seperti itu kekal berada dalam sistem,” katanya dalam perkongsian video di media sosial.
Beliau menegaskan KPM tidak seharusnya mengambil pendekatan menghukum sebaliknya memberikan lebih ruang guru menyuarakan kelemahan yang wujud dalam sistem pendidikan negara dan bukannya mengambil tindakan.
Mohd Fadli berkata, walaupun Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan guru bebas untuk memberi pandangan namun ia hanya bersifat sementara selagi akta dan peraturan terbabit tidak dipinda.
“Bila keluar daripada mulut menteri macam itu, akta itu tertangguh sementara sebab akta peraturan 1993 menyatakan mana-mana penjawat awam tidak boleh mengkritik atau mengeluarkan pandangan kecuali dengan kebenaran menteri.
“Jadi secara umumnya bila bulan Mac 2023 menteri Fadlina mengeluarkan kenyataan akhbar, setakat ini bolehlah guru bersuara. Sebab akta itu tertangguh.
“Namun adakah akta itu mansuh? Tidak. Sebab akta dan pekeliling itu masih berkuatkuasa. Sekiranya ada pertukaran menteri pendidikan, pekeliling ini akan terpakai balik,” kata beliau.
Justeru Fadhlina menggalas tanggung jawab besar untuk mengembalikan kepercayaan dan kegemilangan KPM.
Mohd Fadli baru-baru ini mengumumkan bersara pilihan sebagai seorang guru.
Katanya, dia sudah membuat keputusan terbabit kira-kira setahun lalu.
Pada 2022, beliau didakwa dikenakan tindakan tatatertib atau dibuang kerja kerana menyuarakan isu berkaitan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, waktu belajar dan bilangan murid dalam kelas.
Bagaimanapun, Lembaga Tatatertib KPM memutuskannya tidak bersalah dan tiada sebarang tindakan tatatertib diambil.- MalaysiaGazette