Sebahagian motosikal yang disita dalam operasi di Kampung Pandan.

AMPANG – Polis menyita sembilan buah kenderaan dan mengeluarkan 31 saman pelbagai kesalahan trafik dalam Operasi Motosikal di sekitar Lorong Cantik, Jalan Kemajuan Kampung Pandan pada 3 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi bermula 9.30 malam itu susulan menerima aduan daripada penduduk sekitar berkenaan sikap segelintir golongan remaja yang gemar menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya.

Selain itu, golongan remaja berkenaan didakwa melakukan bunyi bising daripada ekzos motosikal yang diubahsuai.

“Seramai 40 individu telah diperiksa dalam operasi itu dan sebanyak 31 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ubah suai ekzos dan juga lain-lain kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azam, sembilan buah kenderaan turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama.

Sorang lelaki berstatus dikehendaki berkait dengan kes penipuan yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan turut ditahan.

Manakala, seorang lagi lelaki turut diberkas atas kesalahan memiliki saman trafik lampau berstatus waran tangkap. – MalaysiaGazette