Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penjualan bunga api secara dalam talian ataupun online adalah dilarang sama sekali serta merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda sekiranya didapati bersalah.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Deputi Komisioner Alzafny Ahmad berkata, ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang mana boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, sebanyak 45 jenis bunga api diluluskan untuk dijual sejak 2018 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan.

Dalam kenyataan di sini, katanya,  jualan umum bunga api juga hanya dibenarkan sewaktu perayaan Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas, Gawai, dan Keamatan

“Syarat yang perlu dipatuhi oleh peniaga adalah hendaklah mempunyai tempat simpan selamat yang telah disahkan oleh bahagian persenjataan PDRM selain mempunyai lesen dan tidak boleh dipindah milik.

“Hanya pemilik lesen sahaja yang dibenarkan menjual bunga api diikuti satu lesen hanya boleh dikeluarkan kepada satu pemohon di satu lokasi sahaja dan tidak boleh jual bunga api pada pembeli kurang dari 18 tahun,” katanya.

Daripada jumlah yang diluluskan itu, sebanyak 36 item bunga api jenis happy boom dan pop-pop ialah bagi kategori jualan umum, manakala sembilan item bunga api dalam kategori bersyarat dan tidak boleh diniagakan secara umum kecuali merupakan ejen berlesen.

Sehubungan itu Alzafny menasihatkan orang ramai agar bermain bunga api di kawasan lapang supaya ianya tidak mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan kegusaran penduduk setempat.

“Masyarakat juga diseru agar lebih bertanggungjawab dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan serta sentiasa berwaspada semasa bermain bunga api ketika sambutan perayaan,” tegas beliau.

Beliau juga mengingatkan masyarakat agar tidak bermain bunga api melebihi jam 12 tengah malam yang boleh mendatangkan kacau ganggu atau bahaya kepada umum dan jika ingkar boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) atau Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957. – MalaysiaGazette