Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan bercakap kepada media selepas mendengar keputusan kes mencabar isu Perlembagaan membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019 di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 09 FEBRUARI 2024.

PUTRAJAYA – Kerajaan Negeri Kelantan kecewa selepas keputusan Mahkamah Persekutuan memihak kepada petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzil Hassan berkata, pihaknya akan memaklumkan dengan segera kepada Sultan Kelantan berhubung keputusan tersebut.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat Kelantan kecewa dengan keputusan yang dibuat.

“Kita akan secepat mungkin menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad IV,” katanya dalam sidang media di Istana Kehakiman, disini hari ini.

Nik Elin Zurina bersama anaknya dari Kelantan hari ini berjaya dalam permohonan pembatalan terhadap 16 peruntukan enakmen kesalahan jenayah negeri terbabit.

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen Nik Elin Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Mereka mencabar Perlembagaan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Jelas Mohamed Fadzil, keputusan ini tidak akan menghentikan langkah kerajaan negeri untuk memperkasakan Undang-undang Syariah di Kelantan.

“Kita tidak akan terhenti disini, kita akan cari jalan bagaimana untuk melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya lagi.

Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan 16 daripada 18 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019.

Seksyen yang dibatalkan adalah Seksyen 11 (mengenai pemusnahan tempat ibadat, Seksyen 14 (liwat), Seksyen 17 (persetubuhan dengan haiwan), Seksyen 31 (gangguan seksual), Seksyen 34 (memiliki dokumen palsu dan memberi maklumat palsu), Seksyen 35 (mabuk), dan Seksyen 42 (penyalahgunaan label halal). – MalaysiaGazette