KUALA LUMPUR – Kerja-kerja letupan bagi pembinaan laluan terowong atau Adit Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hanya boleh dilakukan dari jam 8 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Jumaat di kawasan berhampiran Desa Melor, Serendah.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), selaku pemilik Projek ECRL, menegaskan bahawa tiada operasi letupan yang dijalankan pada Sabtu dan Ahad.
“MRL mengesahkan terdapat kerja-kerja pembinaan Adit No.4 berhampiran Desa Melor dari Isnin hingga Jumaat ketika ini.
“Namun jarak kawasan perumahan paling hampir dari lokasi Adit 4 sejauh kira-kira 300 meter dan bukan 200 meter seperti yang dilaporkan sebuah portal berita,” kata MRL dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan penduduk Desa Melor, Serendah diancam risiko tanah runtuh, struktur kediaman terjejas dan tembok penahan tanah tepi bukit retak didakwa kesan daripada letupan pembinaan laluan terowong ECRL.
MalaysiaGazette dimaklumkan, kerja-kerja letupan itu yang dilakukan sejak setahun lalu telah menyebabkan kira-kira 60 dari 848 unit kediaman terjejas dengan kesan keretakan pada siling, dinding dan struktur utama.
Selain itu, MRL memaklumkan kemajuan pengorekan Adit No.4 telah mencapai kedalaman 800 meter dari 813 meter yang dirancang.
“Ini bermakna lokasi letupan terkini sehingga perumahan Desa Melor yang hampir dengan kawasan pembinaan projek ECRL lebih dari 1,000 meter (1 kilometer),” kata MRL.
Sehubungan itu, bilangan letupan di Adit No.4 pada setiap hari kerja juga telah dihadkan kepada maksimum dua kali sahaja dan perkembangan ini juga bergantung kepada jadual kerja bagi tujuan tersebut.
“Projek ECRL juga akan mengambil data gegaran dan data ledakan udara setiap kali letupan dijalankan.
“Bagi bacaan gegaran dan ledakan tersebut, pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telahpun menetapkan bahawa bacaan untuk gegaran tidak boleh melebihi 3 mm/s.
“Manakala bagi bacaan ledakan udara yang terhasil daripada aktiviti letupan mestilah tidak boleh melebihi 120 dB,” katanya.
Kata MRL, bacaan berkaitan juga dihantar kepada pihak JMG bagi tujuan pemantauan dari semasa ke semasa.
“Namun, berdasarkan kepada rekod sedia ada, projek ECRL telah mematuhi perimeter yang disyaratkan oleh pihak JMG,” katanya.
Bagaimanapun kata kenyataan itu, kontraktor utama projek ECRL telah mengambil inisiatif dalam mewujudkan kerjasama bersama pihak persatuan penduduk di kawasan tersebut di dalam menangani masalah keretakan pada struktur rumah.
“Satu memorandum persefahaman telah ditandatangani antara kontraktor utama Projek ECRL dengan pihak persatuan penduduk berkenaan pada 18 November 2023.
“Antara kandungannya ialah Projek ECRL bersetuju menyediakan sejumlah dana kepada pihak persatuan sebagai bantuan khas bagi meringankan beban penduduk yang menghadapi masalah keretakan pada kediaman mereka,” katanya.
Kata MRL lagi, kerja-kerja pembinaan Projek ECRL berhampiran Desa Melor telah mengambil kira impak paling minimum.
“Projek ECRL juga telah mematuhi garis panduan dan syarat termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Endapan (ESCP),” katanya lagi. – MalaysiaGazette