Normah kini menjaga empat cucunya setelah anak-anak tersebut ditinggalkan ibu dan bapa mereka.

JOHOR BAHRU – Walaupun telah dimamah usia, namun demi kasih dan sayang, seorang nenek sanggup bersusah payah menjaga empat cucunya berusia, 11, 10, 6, dan 7 bulan.

Tanggungjawab itu dipikul Normah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini selepas anak dan menantunya  menghilangkan diri.

“Anak perempuan saya penagih dadah manakala menantu pula tokan dadah dan kami sudah terputus hubungan. Semua anaknya itu ditinggalkan begitu sahaja kepada saya semasa mereka tinggal di Ipoh, Perak.

“Cucu sulung ditinggalkan di rumah mereka selepas dilahirkan pada jam 3 pagi di Ipoh dan menyuruh saya mengambilnya. Cucu kedua pula saya ambil selepas ditinggalkan di tepi jalan sementara cucu ketiga juga saya ambil di hospital.

“Cucu keempat diserahkan kepada saya oleh pihak mahkamah di Ipoh selepas anak saya disabitkan dengan kes menjirus air panas pada anak keempatnya itu,” katanya ditemui pemberita di rumahnya hari ini.

Terdahulu Normah yang mempunyai tiga anak itu menerima kunjungan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan.

Katanya, dia baru seminggu berpindah ke PPR tersebut selepas semua empat cucunya diambil.

“Kalau saya biarkan, bagaimana nasib cucu-cucu saya. Walau saya sudah berusia saya tak sanggup lihat keadaan mereka (cucu) dibuang emak dan bapa sendiri.

“Jadi saya perlu jaga cucu saya,” katanya.

Menurut Normah, keadaan cucunya yang dilahirkan sumbing dan memerlukan pembedahan segera di Hospital Sultanah Aminah (HSA) membimbangkannya.

“Doktor memaklumkan cucu keempat saya perlu menjalani empat pembedahan di HSA. Pembedahan tidak dapat dilakukan sebelum ini kerana dia sering demam, selesema, batuk dan sesak nafas. Pembedahan tidak boleh dilakukan dalam keadaan cucu saya itu tidak sihat,” tambahnya.

Normah yang menghidap darah tinggi berkata, dia kini bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal RM1,000 sebulan.

“Saya tidak boleh bekerja kerana terdapat besi dimasukkan dalam kaki kanan dan sukar bergerak. Kalau ada kudrat pasti saya bekerja,” sambungnya.

Normah sebelum ini pernah tinggal di Air Panas, Labis, Segamat dan bekerja sebagai tukang cuci dan menjual cendol untuk menampung perbelanjaan bulanan serta persekolahan dua cucunya yang belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

“Perbelanjaan semasa tinggal di sana tidak pernah cukup, kami lima beranak pernah tidak menjamah nasi selama lima hari berturut-turut dan hanya makan ubi kayu yang ditanam di rumah untuk mengalas perut.

“Disebabkan ada masalah di rumah keluarga di Labis, saya dihalau dan hilang arah tuju sebelum pergi ke Pejabat SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) untuk memohon bantuan. Kemudian (Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor), Datuk Mohd Jafni (Md Shukor) membantu sehingga dapat berpindah ke PPR ini,” katanya.

Meskipun dalam kepayahannya, sebagai seorang nenek, Normah ingin melihat semua cucunya bersekolah dan cemerlang dalam pelajaran masing-masing.

Sementara itu, Mas Imran berkata, bantuan tersebut berupa barang basah, keperluan asas, susu dan pampers bernilai RM1,100 bagi meringankan beban Normah.

“Ini adalah bantuan secara ‘one off ‘ dan selepas ini pihak Econsave akan membantu cucu-cucu Normah pakaian dan kelengkapan sekolah mereka selain membantu mengemaskan rumahnya bersama Sukarelawan,” katanya.

Orang ramai yang mahu menguhulurkan bantuan boleh berhubung menerusi nombor 017 7587639 atau melalui akaun CIMB Bank 7625701781 atas nama Normah Asinar.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast