CAPTION GAMBAR : Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin meninjau kaunter pendaftaran sistem PADU di Masjid Tepian Putra, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bukan hanya sebagai platform rujukan kerajaan bagi pemberian bantuan dan subsidi kepada rakyat semata-mata.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, maklumat yang diperoleh kelak akan diguna untuk merancang, menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan bagi tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat pada masa hadapan.

“Dengan adanya PADU ini, walaupun ada yang menerima bantuan mengikut kelayakan masing-masing, tapi kita kena ingat, secara kolektifmya negara kita boleh bergerak lebih maju ke hadapan.

“Sistem pendidikan akan ditambah baik, sistem kesihatan boleh ditambah baik dan akan digunakan secara kolektif oleh orang ramai termasuk golongan T20 dan M40,” katanya ketika diminta mengulas segelintir orang ramai terutama dalam golongan terbabit yang masih enggan mendaftar dalam PADU kerana tidak menerima sebarang manfaat.

Mohd Uzir ditemui pemberita selepas melakukan pemantauan pelaksanaan pendaftaran orang ramai menerusi sistem PADU peringkat negeri Pahang di Masjid Tepian Putra, di sini hari ini.

Mohd Uzir Mahidin

Beliau berkata, sambutan orang ramai terhadap PADU di Pahang kini semakin meningkat memasuki hari ke 39 peluncurannya hari ini.

Menurut beliau, jumlah Individu di Malaysia yang telah mengemaskini maklumat di sistem PADU sehingga 8 Februari 2024 adalah seramai 2.82 juta atau 12.8 peratus.

Sementara itu, katanya, daripada 1.1 juta penduduk di Pahang, kira-kira 13.6 peratus atau anggaran 150,000 orang yang telah lengkap mendaftar dan mengemas kini data mereka menerusi PADU.

“Jadi kita jangka dengan tempoh yang berbaki ada sebulan lebih kalau tahap kesedaran semakin baik kita jangkakan sasaran kita untuk semua orang mengemas kini di dalam sistem PADU ini dapat berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.

Mengulas mengenai kebimbangan tahap keselamatan sistem PADU yang sering disuarakan orang ramai, beliau menjelaskan, perkara itu hanya momokan pihak tertentu yang tidak memahami sepenuhnya tujuan PADU.

“Dari segi faktor keselamatan, sistem PADU ini adalah sistem negara, jadi faktor keselamatan adalah paling utama dan bukan dibuat sewenang-wenangnya sehingga mendatangkan sesuatu yang tidak baik kepada rakyat,”jelasnya.

Sementara itu,  Mohd Uzir berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berharap masyarakat tidak membuat pendaftaran pada saat-saat bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di dalam sistem pangkalan data.

“Kita nak elakkan supaya masyarakat berpusu-pusu di saat akhir dan pastikan pendaftaran itu berlaku sekarang bukan di saat-saat akhir dan tidak bertangguh.

“Jadi antara usaha yang kita lakukan adalah berinteraksi dengan pihak kerajaan negeri dan Parlimen dan kami berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan.

“Kami telah menerima begitu panjang senarai permintaan untuk melaksanakan bantuan-bantuan (untuk daftar PADU) dengan di seluruh negara kita telah menggerakkan 2,300 anggota DOSM selain turut memerlukan bantuan dari rakan strategik dan sukarelawan dalam kalangan orang ramai,” katanya.

Sebagai rekod, sejumlah 111 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di setiap daerah di Pahang telah dibuka membabitkan 167 kaunter fizikal di seluruh daerah termasuk di Pejabat Daerah dan Tanah, pihak berkuasa tempatan, UTC, agensi kerajaan dan tempat tumpuan masyarakat mengikut keperluan dan permintaan pelbagai pihak.

Rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas boleh membuat pendaftaran dan pengemaskinian maklumat individu bermula pada 2 Januari 2024 sehingga 31 Mac 2024.

Terdapat 2 mod pengemaskinian maklumat dalam sistem PADU iaitu online secara Portal PADU (portal awam) serta Portal Pengurusan di Kaunter Fizikal PADU dan borang.– MalaysiaGazette