Rozita Che Wan.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Rozita Che Wan atau Che Ta mengakui dia teraksa akur dengan desakan wakil sebuah syarikat untuk memadamkan hantaran di media sosialnya.

Katanya, dia enggan memanjangkan isu susulan pendedahannya mengenai seorang artis yang mengambil bahan terlarang dalam sebuah video dalam Instagramnya.

“Selepas berkongsi video amaran meminta pelakon baharu berwaspada dengan pujukan seorang aktres mencuba bahan terlarang, saya dihubungi pihak tertentu.

“Rupa-rupanya ada yang terasa dan minta wakilnya menggesa saya memadam hantaran berkenaan, sedangkan saya tidak menyebut nama sesiapa.

“Apa pun saya turuti saja permintaan (padam), bukan takut sebaliknya sebab saya didesak,” katanya selepas sidang media Lip Lap Lip Lap Ramadan 2024 Hotel Tenera Bangi, semalam.

Che Ta tampil sebagai wajah bufet Ramadan Hotel Tenera pada tahun ini.

Beberapa hari lalu pelakon berusia 51 tahun itu menyelar tindakan seorang individu popular yang dilihat cuba menjerat bakat baharu agar mencuba bahan terlarang bersamanya.

Che Ta menambah, tujuan asal membangkitkan hal yang tular hanya mahu memperingatkan bakat muda agar jangan terpedaya dengan pujukan individu dimaksudkan.

Ujarnya, dia enggan masuk campur  urusan peribadi selebriti senior terbabit, tetapi terpaksa bersuara selepas kasihan dengan mangsa.

“Saya didatangi pelakon muda itu buat kali kedua dan tergerak menyuarakan masalah yang dicetuskan individu sama agar semua bakat baharu berjaga-jaga.

“Harap jangan terjerumus dengan perkara negatif, itu saja. Soal dia nak menggunakan bahan terlarang, itu pilihannya, jangan pengaruhi orang lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette