Anwar Ibrahim bersama-sama anggota Kabinet dan pemimpin KLSCAH meraikan sambutan Tahun Baharu Cina hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pembangunan ekonomi dan menarik pelaburan serta mengembangkan keupayaan dalam semua bidang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perancangan itu dapat dilaksanakan tahun ini berikutan kekuatan kerjasama anggota pentadbiran dalam Kerajaan Madani selain kestabilan politik yang sedang dikecapi negara.

Tegas beliau, anggota Kabinet juga memberi fokus sepenuhnya untuk memastikan Malaysia menjadi negara yang hebat di rantau ini.

“Seperti yang saya katakan pada tahun ini tumpuan adalah pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, dan tumpuan asas kepada ekonomi, pembangunan melalui pelaburan dan dasar yang boleh menarik pelabur dalam dan luar negara,” katannya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) hari ini.

Anwar bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh Presiden KLSCAH Ngan Teng Ye yang menegaskan betapa pentingnya kerajaan untuk memberi tumpuan terhadao ekonomi negara.

Tambah Anwar, Malaysia menjadi tarikan pelabur luar bukan sahaja disebabkan keamanan negara tetapi juga kerana peluang ekonomi dan pendidikan yang lebih baik selain rakyatnya yang menguasai pelbagai bahasa.

Menurut beliau, negara China antara pelabur utama di Malaysia dan hubungan erat kedua-dua negara sudah sampai ke tahap strategik dan membanggakan.

Sementara itu, Anwar turut mengajak anggota KLSCAH untuk meneruskan hubungan baik yang telah dimulakan sejak tahun 1980-an.

“Walaupun ada beberapa kepentingan khas yang dibawa oleh pimpinan Dewan Perhimpunan Cina dan badan-badan Melayu dan Islam yang lain namun hubungan kerjasama dalam beberapa isu hak asasi, demokrasi, kebebasan badan kehakiman ini yang dibicarakan dahulu yang harus kita teruskan termasuk isu menentang rasuah dalam negara.

“Jadi saya ucap terima kasih mendengar ucapan saudara Ngan yang terus memberi sokongan terhadap usaha-usaha memerangi rasuah yang saya telah sebut sebagai cabaran besar kepada negara dan kita harus bersihkan dan melonjak sebagai negara penting dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan,” katanya.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.