KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa menyebarkan berita palsu berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan barkaitan cabaran terhadap 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil membuat dakwaan tersebut selepas Muhyiddin berkongsi pendirian mengenai keputusan mahkamah yang mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan yang dicabar adalah terbatal dan tidak sah.
“Muhyiddin sebar berita palsu,” kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu menerusi laman X pada Sabtu.
Dalam perkongsian di media sosial, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri melahirkan perasaan dukacita terhadap keputusan mahkamah.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga percaya majoriti umat Islam turut bersedih dengan keputusan berkenaan.
“Dengan keputusan ini, perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam seperti menawarkan perhidmatan maksiat, berkahlwat, sumbang mahram dan minum arak tidak lagi menjadi satu kesalahan bagi umat Islam di negeri Kelantan.
“Saya percaya jika ada pihak yang mencabar kedudukan undang-undang Islam di negeri-negeri lain, undang-undang tersebut juga akan diisytiharkan tidak sah berdasarkan precedent yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekututuan dalam kes Nik Elin,” katanya di X.
Bagaimanapun seorang pengguna media sosial, Liyana Marzuki menegur kenyataan yang dibuat Muhyiddin.
Beliau berkata, bekas perdana menteri itu seharusnya menyemak fakta dan merujuk kepada pakar.
“Tindakan bapa dan mak ayam masih lagi kesalahan bawah seksyen 372B Kanun Keseksaan dengan hukuman 20 tahun penjara. Kalau lakukan kesalahan, semua muslim Kelantan boleh kena dakwa.
“Sama juga, sumbang mahram bawah 376A dengan hukuman yang sama bersama sebatan.
“Yang saya tak boleh brain, maklumat yang beliau beri mengenai khalwat dan minum arak. Ia masih peruntukan yang sah dalam Enakmen Syariah Kelantan. Tidak langsung termasuk 16 seksyen yang dibatalkan,” katanya.
Kenyataan Liyana Marzuki itu kemudian dikongsi oleh Fahmi sebagai membuktikan Muhyiddin menyebarkan berita palsu.
Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman sebelum ini mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat kemudiannya mengisytiharkan 16 kesalahan yang dicabar adalah terbatal dan tidak sah.- MalaysiaGazette