KUALA LUMPUR – Pas tidak wajar untuk menyalahkan sesiapa apabila Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, sebaliknya semua pihak kena pandang ke hadapan dan pinda Perlembagaan dalam kadar segera.
“Menteri mana pula Pas akan bakar. Masa berkuasa dulu siapa Menteri Agama dan siapa Menteri Undang Undang? Tidak payahlah menyalahkan sesiapa.
“Lebih baik moving forward. Pinda Perlembagaan Persekutuan dengan kadar segera. Semoga ahli parlimen Islam bersatu hati,” katanya menerusi hantarannya di akaun Facebooknya, semalam.
Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.
Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Antara peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai batal dan tidak sah adalah Seksyen 11 iaitu memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, kesalahan liwat (seksyen 14) dan persetubuhan dengan mayat (seksyen 16).
Dalam pada itu, Puad juga mengakui walaupun keputusan itu tidak menjejaskan akidah, namun ia menjejaskan keimanan umat Islam.
“Walaupun Ketua Hakim kata isu ini tiada kaitan dengan Aqidah, tetapi Undang Undang Syariah tetap menyentuh keimanan seseorang hatta hukuman takzir,” katanya. – MalaysiaGazette