Foto yang menunjukkan Israel melakukan genosid di Gaza.

SHAH ALAM – Hayat Yolu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di Istanbul, Turkiye, menganggarkan sekurang-kurangnya AS$20 bilion diperlukan untuk pembinaan semula Gaza selepas perang.

Ketua Perkongsian di Hayat Yolu, Ahmed Shaltoot berkata, anggaran itu mengambil kira keutamaan intervensi jangka pendek, sederhana dan panjang, termasuk membina semula rumah dan sekolah, memulihkan semula sektor kesihatan, melaksanakan projek penyulingan air masin serta tenaga suria selain bantuan kepada anak yatim.

Hayat Yolu bekerjasama dengan rakan kongsi dari 13 negara untuk menangani cabaran pembinaan semula Gaza.

“Kita mesti mengatur dan merancang secara sistematik kerana pembinaan tidak mungkin boleh dimulakan di tengah-tengah konflik yang berterusan ini. Insya-Allah, apabila konflik berakhir, kita akan mempunyai kedudukan yang kukuh untuk menyokong usaha pembinaan semula Gaza,” menurut Ahmed kepada Bernama pada majlis di Shah Alam pada Ahad.

Ahmed adalah antara penceramah pada International Postwar Gaza Rebuilding Planning Session, anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Hayat Yolu.

Lebih 200 delegasi dari 23 negara mengambil bahagian dalam acara ini untuk menyusun strategi hala tuju pembinaan semula di Gaza.

Sementara itu, Pertubuhan Kebudayaan Palestin-Malaysia (PCOM) melaporkan bahawa setakat 4 Februari, selepas 121 hari peperangan, jumlah korban dan kemusnahan yang dahsyat direkodkan di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, termasuk 27,737 orang terkorban, 71,021 cedera dan lebih 8,000 individu hilang atau tertimbus di bawah runtuhan.

Pen,yelaras Media dan Hal Ehwal Politik PCOM, Muath Omar berkata skala kemusnahan itu tidak pernah berlaku sebelum ini dengan lebih 360,000 rumah, 386 kemudahan pendidikan dan 221 tempat ibadat rosak.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya AS$50 bilion diperlukan untuk pembinaan semula Gaza.

Walaupun pencerobohan Israel, Muath berkata, gerakan penentang Palestin mempunyai daya tahan yang tinggi.

Menurutnya, selepas lima bulan konflik, tentera pendudukan Israel gagal mematahkan penentang atau menguasai sepenuhnya Gaza. Sebaliknya, penentang berjaya memusnahkan banyak kenderaan tentera, termasuk kereta kebal, kapal pengangkut tentera, jentolak dan jip.

Muath juga menyebut mengenai percanggahan antara angka rasmi dan yang diumumkan membabitkan jumlah korban dalam kalangan rakyat Israel, sekali gus menunjukkan daya tahan dan keberkesanan penentangan Palestin di seluruh Semenanjung Gaza. – Bernama