KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Kelantan mengingatkan semua pihak pembatalan 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sama sekali tidak akan memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk melakukan perbuatan terkutuk.
Jawatankuasa Eksekutif Negeri berkata, ini kerana hukuman berdasarkan Kanun Keseksaan yang termaktub di bawah Mahkamah Persekutuan itu adalah lebih berat dan besar impaknya.
Sebagai contoh jelas jawatankuasa itu, untuk kesalahan liwat, denda penjara maksimum 20 tahun beserta sebatan manakala Enakmen Kelantan pula tidak lebih tiga tahun.
“Terbatalnya 16 peruntukan enakmen tersebut adalah kerana pertindihan kuasa di antara
peringkat negeri dan Persekutuan. Oleh itu, undang-undang negeri tersebut tidak boleh
terpakai dan terbatal kerana ia adalah bidang kuasa Persekutuan, bukan bidang kuasa
negeri.
“Walaupun beberapa peruntukan dalam Enakmen Kelantan tersebut sudah terbatal,
namun keseluruhan institusi Mahkamah Syariah tetap utuh dan keadilan di dalamnya
tetap terjamin. Ini menandakan kestabilan dan kebolehpercayaan sistem kehakiman
syariah di negeri Kelantan.
“Masyarakat perlu fahami bahawa keputusan ini bukanlah satu isyarat untuk masyarakat
bebas melakukan maksiat atau melanggar hukum Islam. Sebaliknya, ia menegaskan
prinsip undang-undang dan peraturan yang diiktiraf, memberikan jaminan bahawa
keadilan akan terus dijalankan tidak kira bangsa mahupun agama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ia mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.
“Dengan keputusan ini, perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam seperti
menawarkan perkhidmatan maksiat, berkhalwat, sumbang mahram dan minum arak
tidak lagi menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam di negeri Kelantan,” antara kenyataan Muhyiddin itu.
MUDA Kelantan menjelaskan, apa yang berlaku ini sebenarnya tidak ada kaitan langsung dengan perkara seperti rakyat Kelantan kini bebas melakukan maksiat dan runtuhnya Institusi Kehakiman Islam.
Sebaliknya menegaskan, sangat penting untuk kita menjaga kesejahteraan masyarakat dalam situasi ini dan menyeru agar masyarakat kekal bertenang dan tidak terpengaruh oleh propaganda jahat yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
“Muhyiddin Yassin serta individu yang lain perlu berhenti menyebarkan rasa takut di
kalangan rakyat Kelantan.
“Memperkukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kehakiman dan
menghormati proses undang-undang adalah tugas semua pihak yang bertanggungjawab.
“Ini adalah masa di mana solidariti dan kepercayaan kepada sistem kehakiman perlu ditekankan, bukan penyebaran kebimbangan yang tidak berasas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette