Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu bersikap adil kepada Kerajaan Pas Kelatan dan rakyat negeri itu yang mahu menegakkan syiar Islam ditegakkan ketika melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu bukan conscience  atau isu hati nurani tetapi berkaitan keperlembagaan.

Beliau yang berpandangan berdasarkan perspektif di luar skop undang-undang berkata, kes ini perlu mengambil kira soal politik, sejarah dan budaya negeri Kelantan.

Hassan yang juga seorang peguam berkata, Kerajaan Pas di Kelantan telah memerintah negeri tersebut secara berterusan sejak Pilihan Raya Umum tahun 1990 hingga sekarang iaitu selama 33 tahun.

Enakmen Kod Jenayah Syariah Kelantan 2019 adalah enakmen yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan menjadi undang-undang apabila diperkenankan oleh Sultan Kelantan dan digazetkan dalam Warta Kerajaan Kelantan.

Namun enakmen tersebut terbatal dengan keputusan Mahkamah Persekutuan.

Menurut Hassan, beliau percaya ahli-ahli DUN Kelantan yang majoritinya dari Pas sedar rang undang-undang enakmen yang diluluskan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya percaya mereka sedar kerana Kerajaan Negeri Kelantan bukanlah semberono dan membabi buta sengaja mahu membentangkan enakmen tersebut.

“Kerajaan Pas Kelantan bukan sebuah kerajaan armature yang baru memerintah negeri sekadar setahun dua. Di belakang Kerajaan Negeri Kelantan terdapat Penasihat Undang-undang yang amat mahir dan faham hal Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi apabila Menteri Besar Kelantan, ADUN-ADUN Pas dan Penasihat Undang-Undang Kelantan tahu risiko dan kemungkinan Enakmen Kod Jenayah Syariah tersebut dicabar di mahkamah dan dibatalkan seperti apa yang berlaku sekarang, mengapa mereka tetap bertegas untuk meneruskan penggubalan enakmen tersebut?

“Pada pandangan saya, jawapannya ialah tiga faktor yang saya sebut sebelum ini iaitu faktor politik, sejarah dan budaya rakyat Kelantan yang ada perbezaannya dengan kebanyakan negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Tambah beliau, Kelantan adalah sebuah negeri berdaulat dalam sebuah Persekutuan dan rakyatnya lebih 90% Melayu dan beragama Islam.

Rakyat Kelantan sudah lebih 33 tahun memilih Pas sebuah Parti Islam yang membawa agenda untuk memertabatkan undang-undang Syariah Islam di negeri itu.

“Rakyat memilih Pas di Kelantan melalui peti undi pilihan raya, bukannya secara ugut dan paksa. Pas memerintah di negeri Kelantan melalui pilihan raya yang demokratik mengikut lunas-lunas demokrasi, bukannya melalui kekerasan.

“Jadi Enakmen Kod Jenayah Syariah Kelantan 2019 adalah manifestasi yang asasi kehendak majoriti rakyat Kelantan yang telah memilih Kerajaan Islam pimpinan Islam Pas dalam lapan pilihan raya umum berturut-turut (tahun 1990, 1995, 1999, 2004, 2008. 2013, 2018 dan 2022).

“Apabila kita berbicara soal menang dan kalah, soal majoriti dan minoriti, maka ada faedahnya jika kita merenung kata-kata Mahatma Gandhi: In matters of conscience, the law of the majority has no place.

“Perkara ini tidak boleh diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan tetapi perlu diserahkan kepada Mahkamah Keadilan Rakyat. Dalam hal ini perkataan conscience yang disebut oleh Mahatma Gandi itu adalah relevan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette