Foto Facebook Fahmi Fadzil. Ross Ariffin (kiri).

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meluahkan rasa simpati dengan nasib komposer dan pemuzik, Ross Ariffin yang kini hidup sebagai gelandangan.

Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau terpanggil untuk mengenali dengan lebih dekat insan istimewa itu untuk cuba membantu selepas terbaca mengenai kisah hidup Ross di media sosial.

“Setelah kami bertemu, Ross menceritakan kisah sedih beliau makan di jalanan, kadang-kadang menjamah sisa-sisa makanan yang ditinggalkan di atas meja. Kadangkala tiada langsung makanan seharian sampai ke malam.

“Dengan nada percakapan yang tersekat-sekat akibat pernah mengalami serangan strok sebanyak dua kali, tangan Ross juga pernah patah dan masih tak sembuh.

“Kesengsaraan beliau sebagai gelandangan hingga ke tahap jatuh menggigil dan pengsan akibat berada di tengah hujan terlalu lama.

“Sedih dengan keadaan beliau, saya dan pasukan berusaha menjejak Ross,” tulisnya.

Mengulas lanjut, Fahmi juga memaklumkan sebelum pertemuannya dengan Ross, komposer terkenal itu telah dibantu oleh Exco Kebudayaan Negeri Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman dengan ditempatkan di tempat perlindungan sementara.

“Ross akhirnya tidak perlu di jalanan lagi dan ditempatkan di tempat tinggal sementara. Terima kasih kerajaan Melaka atas keprihatinan,” katanya.

Ross Ariffin bertemu semula dengan sebuah piano selepas tiga tahun menjadi gelandangan.
Rentetan itu, Fahmi berkata dia dan pasukkannya menjejaki Ross dan akhirnya bertemu dengannya di Melaka.

“Semasa bertemu, kami berbicara hati ke hati. Saya tersentuh dengan segala pengalaman pahit dan kesukaran yang beliau lalui.

“Namun, Ross masih punyai tekad dan iltizam yang kuat untuk kembali berkarya kerana minat yang cukup mendalam.

“Saya dengar dengan teliti kata-kata beliau dan memberi semangat supaya tidak menyerah kalah dan terus berkarya kerana Ross punyai bakat yang sangat unik dan berupaya untuk kembali menjadi sebahagian daripada keluarga besar industri hiburan negara,” katanya.

Menurut Fahmi, apa yang dilakukan pihaknya adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya untuk membantu penggiat seni di Malaysia.

“Saya dengan pasukan meneliti beberapa perkara dan cuba membantu sebaiknya untuk beliau kembali berkarya,” katanya.

Justeru, Fahmi berkata pihaknya telah mendapatkan bantuan daripada beberapa pihak bagi membantu Ross.

“Saya mohon pertimbangan daripada Menteri Wilayah, Dr Zaliha Mustafa untuk mengenal pasti sebuah unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan juga cuba dapatkan bantuan asas untuk keperluan rumah beliau.

“Saya juga berbincang dengan pihak RTM supaya Ross dapat bekerjasama dalam penciptaan lagu baru bersama RTM supaya dia dapat bangkit semula.

“Kami juga bertemu Pengarah Muzik, Mokhzani untuk merancang penerbitan lagu baru yang boleh beliau gubah. Ross nampak begitu bersemangat untuk kembali berkarya,” katanya.

Tambah Fahmi, buat pertama kali selepas tiga tahun menjadi gelandangan, Ross berpeluang untuk duduk di depan sebuah piano dan jari-jemarinya terus lincah meneroka papan kekunci.

“Saya sendiri berasa terharu melihat seorang komposer legenda melepaskan rindu bermain alat muzik.

“Selagi mana saya berperanan sebagai menteri dan Kerajaan Madani masih mentadbir, percayalah bahawa kami akan berusaha sedaya upaya buat para seniman,” katanya.

Foto Facebook Fahmi Fadzil.

Selain itu, Fahmi berkata Ross sedang mencari sebuah keyboard baru untuk dia mulakan kembali kehidupan.

“Jom pakat ramai-ramai berikan angpow kepada Ross agar sama-sama meringankan beban, supaya beliau boleh terus berikan sentuhan magis kepada industri muzik tanah air,” tambahnya.

Bagi tujuan itu orang ramai boleh menghulur bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0410041100013234 atas nama Roslan Ariffin Bin Jamil.

Media sebelum ini, melaporkan Ross 61, yang pernah mencipta lagu untuk Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Fauziah Latiff dan Liza Aziz kini hidup sebagai gelandangan dan merempat.

Ross yang juga pencipta lagu Dia nyanyian Fauziah Latiff berkata, dia hidup sebagai gelandangan dan berpindah-randah sejak tiga tahun lalu di sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur dan juga Melaka.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, dia turut dua kali diserang angin ahmar dan kini sukar untuk berjalan dan bercakap. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast