Seorang wanita warga emas maut manakala empat ahli sekeluarga cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terjatuh dalam gaung sedalam 16 meter ketika pulang dari bercuti di Batang Kali semalam.Ihsan Bomba

HULU SELANGOR – Percutian bersempena Tahun Baharu Cina lima ahli sekeluarga bertukar tragedi apabila seorang maut manakala empat lagi tercedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung dalam kejadian di Batang Kali, Hulu Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kemalangan maut melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Katanya, kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu melibatkan lima mangsa berumur antara 29 hingga 62 tahun.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku kesemua mangsa sekeluarga sedang dalam perjalanan dari sebuah resort di Dusun Tara, Ladang Batang Kali menuju ke Rawang untuk pulang ke rumah mereka selepas menghabiskan cuti sambutan Tahun Baharu Cina di resort tersebut.

“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan itu yang dipandu wanita berusia 62 tahun dipercayai hilang kawalan kenderaannya terbabas dan terjatuh ke dalam cerun bukit beranggaran dari ketinggian 16 meter itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, akibat daripada kemalangan itu, mangsa seorang wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan berusia 61 tahun hadapan telah mengalami kecederaan parah dan tersepit di dalam kenderaan tersebut.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian tersebut sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.

Manalala pemandu Hilux berusia 62 tahun dan tiga lagi penumpang berusia 29 dan 31 tahun yang mengalami kecederaan dibawa dan menerima rawatan Hospital Selayang ketika ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Dalam satu kenyataan semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor mengesahkan menerima panggilan mengenai nahas jam 6.28 petang. – MalaysiaGazette