Mohd Zuki Ali

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz akan membuat kenyataan mengenai Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, beliau bersama Wan Ahmad Dahlan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican telah bertemu Perdana Menteri mengenai perkara tersebut hari ini.

“Pagi tadi saya bersama-sama Datuk KPPA dan Datuk KSP telah berbincangan dengan Perdana Menteri mengenai apa yang akan kita bawa kepada Jemaah Menteri dan insya-Allah kenyataan akan dibuat oleh Datuk KPPA saya rasa telah hampir final.

“Ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin memberi keutamaan kepada penjawat awam sebab sudah 12 tahun tidak ada kenaikan gaji, ada setahun dua buat pelarasan atau penambahanbaikan gaji tahunan dan skim perkhidmatan.

“Benda ini bukan perkara baharu. Lama sudah bincang. Jadi saya lihat kerajaan pada hari ini yang saya lihat berani laksanakan perkara ini,” katanya.

Mohd Zuki berkata demikian ketika berucap pada Majis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024 bertemakan ‘Kitalah Benteng Malaysia’.

Beliau berkata, selaras dengan kenaikan gaji tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kakitangan awam melakukan reformasi dalam memberikan perkhidmatan kepada rakayat.

“Perdana Menteri bertanya ada tak kemungkinan penjawat awam yang tidak perform ini boleh kita tamatkan perkhidmatan. Sampai itu sekali. Jadi kita kena balas setimpal.

“Sektor swasta berbuat demikian. Kalau mereka yang tidak menunjukkan prestasi tak tunggu lama, tiga hari tak datang kerja sudah diberhentikan kerja. Kita ini tiga bulan tak datang kerja pun dua tiga kali kena mesyuarat nak ambil tindakan,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan penuh SSPA akan dibuat sepenuhnya bermula 2025.

Bagi tujuan itu, kajian berhubung sistem saraan itu dijalankan secara menyeluruh, yang memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam. – MalaysiaGazette