Lawatan ke Pusat Pemantauan Trafik PLUS pada pelancaran Op Selamat Ke-21 dan VSP 2.0 sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2024 di Persada PLUS Subang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 07 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,261 kes kemalangan telah direkodkan di seluruh negara pada Isnin 12 Februari 2024 iaitu hari kelima penguatkuasaan Op Selamat 21 bersempena sambutan Tahun Baharu Cina 2024 kali ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 15 kes kemalangan maut telah dicatatkan dengan 17 kematian dilaporkan seluruh negara.

“Mengikut statistik terkini semalam, sebanyak 1,558 buah kenderaan terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, statistik perbandingan Op Selamat 19 bagi hari kelima pada tahun lalu pula menunjukkan jumlah kes kemalangan jalan raya telah menurun sebanyak 381 kes daripada 1,642 kes.

Bagaimanapun, katanya, kes kemalangan maut meningkat sebanyak tujuh kes daripada lapan kes yang direkodkan bagi tempoh yang sama sebelum ini.

“Kematian akibat kemalangan jalan raya juga menunjukkan kenaikan sebanyak sembilan orang berbanding hanya lapan orang pada Op Selamat 19 yang dikuatkuasakan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kenderaan yang terlibat kemalangan juga menunjukkan penurunan sebanyak 444 buah kenderaan berbanding sebanyak 2,002 buah kenderaan yang direkodkan dalam Op Selamat 19 yang dilaksanakan sebelum ini.

“Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa peka, berhati-hati dan fokus kepada pemanduan terutama penunggang motosikal.

“Sila memastikan anda sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mematuhi arahan serta bekerjasama dengan petugas JSPT di lapangan dan jangan memandu melebihi had kelajuan yang telah ditetapkan,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, pada Rabu minggu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Op Selamat bagi edisi kali ini mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’, dengan mengangkat dua objektif utama iaitu meminimumkan kemalangan jalan raya serta memastikan kelancaran trafik dan mencegah jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.

JSPT juga turut dibantu oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM dalam menjalankan pemantauan udara di tiga zon utama iaitu zon Utara, Selatan dan Timur.-MalaysiaGazette