Mayat lelaki warga Myanmar ditemui mati dibunuh sebelum dibuang dalam tempat pembuang sampah sawit di sebuah ladang tembikai di Baling, Kedah.

BALING – Seorang pekerja ladang tembikai ditemui mati dibunuh dengan lapan kesan tikaman di bahagian dada serta rusuk kiri dalam kejadian di Batu 7, Binjul, Kuala Ketil di sini pada Ahad lalu.

Mangsa warga Myanmar berusia 36 tahun itu ditemui dalam lubang tempat pembuangan sampah sawit yang terletak kira-kira 500 meter daripada lokasi penginapan pekerja ladang tersebut.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan  Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pengurus ladang tembikai itu kira-kira jam 7.50 pagi.

Shamsudin.

Jelas beliau, pengurus ladang berusia 47 tahun itu mendakwa telah menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada pekerja ladang itu yang memaklumkan dua rakan mereka bergaduh dan seorang daripadanya telah mati manakala seorang lagi cedera serta melarikan diri.

“Bertindak atas laporan itu, pihak polis menjalankan siasatan di lokasi sebelum menemui mayat mangsa terbaring dalam lubang tempat pembuangan sampah sawit di ladang tersebut.

“Pemeriksaan pihak forensik mendapati ada tujuh kesan tikaman di hadapan dada dan satu tikaman di rusuk kiri mangsa dengan kedalaman anggaran satu hingga empat sentimeter.

“Malah, keterangan awal dari Inspektor Kesihatan Baling mengesahkan mangsa dianggarkan telah meninggal dunia kurang daripada 24 jam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Tambah Shamsudin, semakan lanjut mendapati ladang itu diuruskan 12 lelaki warga Myanmar dan dua khemah didirikan di kawasan tersebut untuk penginapan kesemua pekerja terbabit.

Kata beliau, jarak mangsa ditemui 500 meter daripada khemah penginapan tersebut selain Unit K-9 turut mengesan lima helai pakaian yang mempunyai kesan darah yang direndam dalam baldi di lokasi sama.

“Kesemua pekerja ladang termasuk pelaku telah melarikan diri sebaik kejadian dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

“Setakat ini, pengurus ladang itu ditahan bagi membantu siasatan termasuk menggajikan pekerja asing tanpa permit mengikut Akta Imigresen.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian ini sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” kata beliau. – MalaysiaGazette