Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya membangunkan 714 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit termasuk formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.

Sejumlah 233 teknologi, atau 32.7 peratus daripada teknologi ini telah dikomersialkan dan diguna pakai oleh industri dan usahawan tempatan, kata MPOB dalam satu kenyataan bersempena dengan kunjungan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani ke pusat penyelidikan dan pembangunannya (R&D) di Bangi pada Selasa.

Semasa lawatan itu, Johari berkata, sektor swasta harus terlibat dalam pengkomersilan teknologi ini seperti memperhalusinya agar ia dapat digunakan industri.

“Kita boleh meminta pihak swasta seperti FGV Holdings Bhd (FGV) dan Sime Darby bekerjasama dengan MPOB untuk melakukan ujian percubaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau juga berkata teknologi MPOB dalam menghasilkan formulasi makanan seperti analog keju mozzarella berasaskan sawit memberikan prospek yang baik kerana produk itu boleh digunakan dalam pembuatan piza di Malaysia.

“Keju mozzarella berasaskan sawit itu dirumus menggunakan minyak sawit sebagai pengganti lemak susu dan tidak mengandungi kolesterol dan asid lemak trans.

“Analog ini mempunyai kualiti dan fungsi yang sama seperti keju mozzarella berasaskan susu komersial dan sesuai untuk membuat piza,” katanya.

Selain itu, Johari juga berharap teknologi MPOB yang berjaya menghasilkan formulasi pelet makanan untuk lembu pedaging dapat mengurangkan import makanan haiwan Malaysia sekurang-kurangnya 10 peratus dan membolehkan negara mengeksport produk tersebut.

Menurut MPOB, teknologi itu yang menggunakan produk sawit menawarkan alternatif kepada bahan mentah dan dapat mengurangkan kos pengeluaran makanan haiwan yang tinggi.

“Ujian percubaan komersial produk berkenaan mendapati ia tidak menjejaskan nilai pemakanan produk berkaitan.

“Formulasi pelet makanan ini yang mengandungi lebih 80 peratus bahan berasaskan sawit, termasuk dedak isirung sawit, tandan buah kosong dan minyak sawit mentah, adalah komponen nutrisi lengkap untuk pertumbuhan lembu pedaging mengikut spesifikasi nutrien,” katanya.

Sementara itu, Johari dan delegasinya juga turut melawat kilang rintis majerin, Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka (ABBC) dan galeri sawit MPOB.

MPOB berkata ABBC ialah pusat koleksi germplasma sawit terbesar di dunia bagi pemuliharaan dan penyelidikan berasaskan biakbaka dan bioteknologi sawit dan menjadi sumber untuk pengeluaran bahan klon sawit.

Koleksi germplasma sawit telah menjadi sumber utama dalam penyelidikan MPOB untuk menghasilkan bahan tanaman elit sama ada melalui biakbaka atau kultur tisu.

“Produk pengguna yang boleh diformulakan menggunakan kemudahan loji rintis itu termasuk cecair berasaskan minyak sawit,  kek, dan marjerin pastri, lelemak cecair dan pepejal, serta minyak sapi sayuran,” katanya.

MPOB berkata lawatan Johari itu merupakan komitmen kerajaan untuk memajukan usaha penyelidikan dan pembangunan dalam industri sawit.

“Dengan visi bersama untuk kemajuan, MPOB dan Kementerian Perladangan dan Komoditi kekal komited untuk menggalakkan pertumbuhan, kemampanan dan kemakmuran dalam sektor minyak sawit Malaysia,” katanya. – BERNAMA