Seorang lelaki meluangkan masa membaca buku ketika mengunjungi kedai buku Tsutaya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 JULAI 2022.

Oleh: Sr Dr. Irwan Mohammad Ali

Kebelakangan ini para netizen dihidangkan dengan pelbagai topik dan peristiwa yang mencuri perhatian. Pemerhatian yang dibuat mendapati ramai pihak membuat ulasan berdasarkan pandangan dan kefahaman masing-masing. Ulasan-ulasan ini sering kali dilontarkan ini mengandungi nilai positif dan negatif, serta dipengaruhi oleh pengalaman unik setiap individu. Dalam situasi ini, amat penting bagi setiap individu untuk mengambil pendekatan bertenang, membaca dengan teliti dan memahami konteks suatu perbincangan sebelum memberikan sebarang ulasan. Matlamat utamanya adalah bagi membantu memastikan setiap ulasan yang disampaikan mempunyai asas kebenaran yang kuat dan relevan, serta mampu memberikan sumbangan yang bermakna dalam perbincangan, termasuk dalam talian.

Kelompok netizen realisme menekankan fakta dan realiti objektif, sementara kelompok netizen idealisme lebih menumpukan pandangan dan nilai yang diperjuangankan. Sementara itu, kelompok netizen relativisme pula mengangkat keragaman pandangan dan interpretasi yang sedang berlegar dalam kalangan netizen. Kelompok netizen realisme tadi menerapkan peri pentingnya membaca dan memahami realiti sebenar konteks perbincangan sebelum membuat ulasan. Kelompok netizen idealisme pula cenderung untuk dipengaruhi oleh pandangan dan nilai yang diperjuangkan dalam membaca dan memahami konteks perbincangan. Manakala, kelompok netizen relativisme menekankan bahawa pandangan dan pemerhatian mereka terhadap suatu konteks perbincangan boleh berubah berdasarkan kepada fakta dan realiti yang dicanai.

Justeru, hari ini kita dapat melihat pandangan yang berbeza tentang bagaimana netizen memberikan ulasan berdasarkan maklumat yang dibaca dan difahami. Membaca dan memahami konteks perbincangan sebelum memberikan ulasan merupakan proses pemikiran kritis dan refleksi yang mendalam. Ia merupakan proses berfikir kesan interaksi terhadap sumber bacaan dan idea-idea yang dicanangkan. Berikut beberapa kepentingan
membaca dan memahami konteks perbincangan sebelum memberikan ulasan khususnya dalam pelantar di atas talian.

Membaca mencegah kesalahfahaman fakta dan realiti
Secara epistemologinya, membaca dapat memberikan gambaran keseluruhan konteks perbincangan. Langkah ini penting bagi memastikan maklumat yang diperoleh adalah sahih dan benar, serta mampu dipertanggungjawabkan faktanya. Tanpa pemahaman yang jelas tentang konteks yang sedang dibincangkan, terdapat risiko yang sangat besar dalam menginterpretasikan maklumat dengan salah atau keliru. Kesannya, ulasan yang diberikan adalah suatu kesilapan yang berat, bahkan memesongkan dari fakta sebenar. Jelas, membaca dari sumber yang benar dan memahaminya dengan baik akan meletakkan netizen berada pada posisi yang lebih baik dalam menyuarakan kebenaran.

Membaca memperkayakan ilmu dalam diri
Ilmu adalah aset yang sangat berharga. Melalui membaca, netizen bukan sahaja memperolehi maklumat baharu, bahkan mengembangkan pemahaman tentang realiti sebenar yang berlaku di sekeliling. Secara ontologinya, realiti tidak terhad kepada pemikiran dan pengalaman individu sedia ada sahaja. Bahkan, kebenaran sebenar merangkumi realiti yang berlaku di luar pemikiran dan pengalaman peribadi. Jelas, membaca dan memahami bukan hanya tentang mengumpulkan fakta, tetapi juga tentang melihat spektrum yang lebih luas dalam memahami realiti yang berlaku.

Menghargai sudut pandang orang lain
Secara moralnya, para netizen perlu memiliki empati dan terbuka dalam menghargai sudut pandang orang lain. Melalui pembacaan yang teliti, ia melatih diri untuk melihat dunia dari sudut pandangan yang berbeza-beza. Jelas, ia akan menggalakan perbincangan dan wacana yang lebih harmoni dan meningkatkan toleransi antara satu sama lain. Justeru, dengan memahami hujah atau pandangan dari pelbagai sumber, netizen dapat memberikan ulasan yang lebih berimbang dan mengkaji berbagai perspektif sebelum menyimpulkan pendapatnya sendiri.

Menggalakkan berhujah dengan fakta
Kualiti ulasan tidak hanya bergantung pada kebenaran yang disampaikan, tetapi juga pada kualiti hujah dan fakta yang menyokongnya. Jelas, membaca dengan cermat akan membolehkan kita mengembangkan hujah secara logik dan rasional. Manfaatnya tidak hanya membantu meningkatkan keberanian dalam menyatakan pendapat, tetapi juga memperkayakan perbincangan dengan perspektif yang berinformasi dan berdasarkan fakta yang boleh dipercayai.

Mengelakkan falasi
Hal ini penting bagi memberikan komitmen terhadap kecenderungan berpihak kepada kebenaran dan tidak membuat kesimpulan yang salah atau tidak tepat. Sesetengah pihak bijak menggunakan fakta untuk dijadikan sandaran tetapi membuat kesimpulan yang bersifat retorik dan manipulatif. Oleh itu, amat penting untuk menilai setiap maklumat yang diperolehi dengan penuh teliti dan menggunakan pertimbangan dan penilaian yang kritis sebelum membuat kesimpulan. Ini akan dapat membantu memastikan pendapat atau hujah yang dikemukakan adalah berdasarkan kepada asas yang kukuh dan tidak terjerat dalam falasi.

Akhir kata, membaca dan memahami sebelum memberikan ulasan adalah sangat penting untuk dibudayakan dalam kalangan netizen. Dengan mempraktikkan langkah-langkah ini, para netizan tidak hanya menghasilkan ulasan yang lebih berkualiti dan bermakna, tetapi juga membentuk jati diri yang tinggi sebagai ahli masyarakat yang penuh hikmah, bijaksana dan tanggungjawab. Imam Syafi’i pernah berkata yang maksudnya
berbunyi: “Jika kamu tidak sanggup menahan lelahnya belajar maka kamu harus sanggup menahan perihnya kebodohan”.

Penulis adalah Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Pejabat Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast