Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) menafikan dakwaan Nurul Izzah Anwar menerima gaji sebagai Penasihat Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana).

Menurut MoF, kenyataan yang ditular di media sosial mendakwa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat itu menerima bayaran bagi jawatan tersebut merupakan satu bentuk fitnah.

Dalam kenyataan, MoF menegaskan, Nurul Izzah melaksanakan tugas berkenaan secara percuma.

“Dokumen perjanjian yang diuar-uarkan di media sosial ini merupakan sebuah draf tawaran yang tidak sah.

“Perjanjian yang sah yang telah ditandatangani oleh Puan Nurul Izzah adalah untuk memberi khidmat nasihat kepada Laksana secara pro-bono atau tanpa mengambil imbuhan kewangan mahupun sebarang faedah, seperti yang telah dimaklum kepada umum,” katanya dalam perkongsian di X.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang pengguna Facebook memuat naik satu hantaran mendakwa Nurul Izzah menerima gaji sebanyak RM35,000 sebagai Penasihat Laksana.

Hantaran tersebut turut mendakwa Nurul Izzah dibekalkan dua kakitangan dengan gaji antara RM5,000 hingga RM20,000.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast