TAWAU – Seorang buruh warga Filipina dihukum penjara 33 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini selepas didapati bersalah membunuh rakannya yang berusia 16 tahun di Semporna tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu terhadap Albaris Alunyo Iran, 24, selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Dalam penghakimannya, Lim berkata, mangsa iaitu Hassan Dorol meninggal dunia akibat kecederaan yang sengaja dilakukan oleh tertuduh.

“Terdapat saksi yang melihat kejadian itu dan dia juga cedera di bahagian kepala selepas dipukul oleh tertuduh dengan sebatang tukul… kesalahan tertuduh boleh dilrumuskan daripada perlakuannya selepas serangan itu apabila dia melarikan diri dengan tukul dan sebilah parang sebelum diberkas oleh beberapa penduduk kampung,” katanya.

Albaris didakwa membunuh Hassan di sebuah rumah di Kampung Kuala Benang, Semporna antara 10.30 pagi hingga 11 pagi, pada 26 Februari 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, dalam kes ini mahkamah menggunakan budi bicara untuk tidak menjatuhkan hukuman mati.

“Dia masih muda dan ada kemungkinan boleh dipulihkan, mahkamah mengambil maklum bahawa kesalahan ini adalah serius dan kepentingan awam menuntut agar hukuman penjara yang setimpal melebihi tempoh minimum dijatuhkan memandangkan usia si mati yang masih muda,” kata Lim yang memerintahkan tertuduh dipenjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 26 Feb 2021.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain dan Mohd Suhaimi Suriana manakala Albaris diwakili peguam Kusni Ambotuwo.

Lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan yang berlangsung dari bulan November hingga Disember tahun lepas. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast