Pegawai SPRM mengiringi tiga individu termasuk Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palesin disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram hasil daripada penyelewengan dana derma awam Aman Palestin. di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto MALAYSIA GAZETTE, 15 FEBRUARI 2024.

SHAH ALAM – Tiga individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin Sdn. Bhd. berdepan 164 pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, penipuan dan penggubahan wang haram berjumlah RM39,530,300.96 antara 2018 hingga 2023.

Tertuduh, Awang Suffian Awang Puit, 51, sebagai CEO; Pengerusi Eksekutif, Abdullah Zaik Abd. Rahman, 57; dan Khairudin Mohd. Ali, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun, di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan Awang Suffian dan Abdullah Zaik masing-masing didakwa dengan 52 pertuduhan pecah amanah dana Aman Palestin berjumlah RM21,146,498.80 antara 12 Mac 2018 hingga 3 November 2023.

Kedua-dua individu itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda, sekiranya disabitkan kesalahan.

Selain itu, kedua-duanya juga didakwa secara bersama bagi 19 pertuduhan penipuan wang Aman Palestin berjumlah RM39 juta yang diserahkan kepada syarikat mereka bagi pembelian emas seberat dua hingga 12 kilogram (kg) berjumlah 131 kg antara 24 September 2021 hingga 14 Julai 2023.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan [Akta 574] dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda.

Awang Suffian dan Abdullah Zaik masing-masing sebagai Pengarah Syarikat Samudra Champa Sdn. Bhd. turut berdepan 19 pertuduhan kerana mereka didakwa menggunakan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM12,713,771.60 antara 1 Jun 2018 hingga 29 Mac 2021.

Ini bagi pembelian sebuah rumah Semi-D, kilang pejabat serta rumah kedai dua dan tiga tingkat masing-masing terletak di Kajang, Bandar Baru Bangi, Selangor; Batu Pahat, Johor; Kangar, Perlis; Ipoh, Perak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa menggunakan wang berkenaan bagi pembelian empat lot tanah di Hulu Selangor serta kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Sementara itu, Khairudin pula berdepan dengan tiga pertuduhan sama yang berjumlah RM6,038,016.30 antara 3 Jun 2022 hingga 23 September 2023.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta
613] yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 87(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi.

Kesemua tertuduh melakukan perbuatan itu di empat cawangan bank dan pejabat Aman Palestin di Bandar Baru Bangi antara 2018 hingga 2023.

Prosiding bagi pembacaan 164 pertuduhan tersebut mengambil masa selama hampir hampir dua jam yang bermula pukul 10.35 pagi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Wirna Rifin @ Arifin, Nurul Atiqah Mohamad Alias dan pegawai pendakwa Farhana Ismail.

Manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Siti Mardhiyyah Zamani.

Terdahulu peguam dan timbalan pendakwa raya bersetuju untuk mencadangkan agar Awang Suffian dan Abdullah Zaik dikenakan jaminan dengan bon RM1 juta di mana bayaran pertama RM500,000 dideposit pada hari ini, dan bakinya selepas sebulan dengan seorang penjamin.

Selain itu, peguam dan pendakwaan juga mencadangkan agar tertuduh ketiga, Khairudin dikenakan jaminan sebanyak RM200,000 di mana bayaran pertama RM100,000 dideposit pada hari ini dan baki dalam tempoh sebulan.

Selain itu, kesemua tertuduh juga perlu menyerahkan pasport perjalanan kepada mahkamah.

Hakim kemudiannya bersetuju dengan semua cadangan itu dengan jaminan bon RM1 juta dengan bayaran RM500,000 dideposit pada hari ini dan bakinya dibuat sebelum atau pada 13 Mac ini.

Hakim juga menetapkan 13 Mac ini juga sebagai tarikh sebutan dan pengurusan bagi kesemua kes tersebut. – MalaysiaGazette