KUALA LUMPUR – Pengenalan kategori tunggal bagi beras putih dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini “sangat” menimbulkan keraguan.
Ini kerana, banyak perkara yang tidak diperincikan secara jelas sebelum pengumuman dibuat mengenainya, kata Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim), Ismail Awang.
Malah, beliau turut mempersoalkan, mengapa pihak persatuan pemborong beras tidak dilibatkan bersama dalam sesi libat urus yang didakwa buat dengan pemain industri beras termasuk pengampit pada 14 Februari lepas.
“Dia kata dia ada buat sesi libat urus dengan pemain industri beras termasuk pemborong dan pengampit pada 14 Februari…kita persatuan pemborong beras ni pun tak dilibatkan langsung.
“Tak taulah kalau dia libatkan dengan pemain-pemain industri beras lain, kita check (periksa) mereka kata pun tak tahu,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ismail ditanya mengenai pengumuman Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengetuai Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) apabila mengumumkan mengenai penetapan harga siling baharu dan tetap bagi beras yang bermua 19 Februari ini dan berada di pasaran pada 1 Mac.
Dalam sidang medianya semalam, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, penetapan harga itu melibatkan beras 10 kilogram pada harga RM30, lima kilogram pada harga RM15.50 dan satu kilogram harga RM3.50.
Jelasnya, semua jenis pembungkusan dan warna untuk beras yang telah berada di pasaran dibenar digunakan sehingga stok yang dimiliki pemborong habis dijual.
Katanya, ketetapan harga yang diperkenalkan itu merupakan langkah menang-menang kepada pemegang taruh, pengilang dan peniaga dengan memastikan harga beras di pasaran stabil.
Malah beliau menjelaskan, kerajaan mengambil ketetapan memperkenalkan harga baharu beras putih selepas mengambil kira faktor ketiadaan kenaikan harga beras putih selama 18 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Ismail turut mempertikai mengenai kuasa Syed Abu Hussin Hafiz yang boleh membuat pengumuman mengenai perkara itu.
Katanya, jika mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] pengumuman hanya boleh dibuat oleh menteri bertanggungjawab.
Tambah beliau, gred pada beras madani itu juga tidak jelas kerana tidak ada keterangan mengenai jenis beras yang dibungkus.
“Misal kata beras super special tempatan, dia kena tulis beras super special tempatan bermakna lima persen…itu ada dalam Akta 522.
“Jadi, bila dia umum beras putih dia pakai akta mana?
“Persoalannya, macam kita dipihak-pihak pemborong atau pengampit beras ni, kita nak beli kat pembekal beras tu kita nak tulis beras apa? kalau beras import harga dia lain,” soalnya.
Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya pernah memberikan cadangan supaya diwujudkan beras rahmah dan telah dihantar ke pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Katanya, beliau sendiri yang menyerahkan surat cadangan itu kepada Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu.
“Tak taulah kalau cadangan itu diciplak dan dijadikan sebagai beras madani ni,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ismail berkata, jika kerajaan mahu meneruskan juga program beras madani ini, adalah lebih baik sekiranya kerajaan meneruskan semula program subsidi seperti dahulu.
Katanya, ia lebih sesuai menggunakan konsep beras rahmah bersubsidi dan ia adalah lebih elok.
Jelasnya, pemain industri beras juga boleh dilibatkan bersama dan perbincangan secara tuntas boleh dilakukan agar ia dapat memberikan kesan secara langsung yang lebih baik untuk semua. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:-