Dokumen palsu yang dirampas oleh JIM dalam operasi yang dilakukan di dua lokasi berasingan di sekitar Petaling Jaya dan sebuah premis di Jalan Alor, di ibu negara, semalam.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen dengan penahanan empat lelaki warga Bangladesh dan India dalam serbuan di dua lokasi berasingan, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, suspek berusia antara 28 hingga 32 tahun yang disyaki dalang utama sindiket terbabit ditahan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Katanya, kejayaan itu merupakan hasil aduan dan risikan yang dijalankan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK).

“Kesemua yang ditahan tidak memiliki pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Seorang lelaki warganegara Bangladesh tidak memiliki Pas yang sah dan seorang lelaki warganegara Bangladesh telah tinggal lebih masa di negara ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ruslin berkata, sindiket terbabit menyasarkan warga dari negara sumber seperti Bangladesh, India dan Pakistan yang mempunyai masalah di Malaysia seperti tiada dokumen pengenalan diri dan visa.

Suspek katanya, akan mencari dan menghampiri mereka yang bermasalah itu dan menawarkan perkhidmatan yang disediakan seperti pasport palsu, PLKS palsu dan kad CIDB palsu.

Sindiket terbabit dipercayai telah beroperasi selama satu tahun dan mengenakan bayaran kira-kira RM1,000 bagi setiap pasport, RM500 bagi setiap PLKS dan kad CIDB.

Tambah beliau, dalam operasi itu pihaknya merampas empat pasport India dan satu pasport Pakistan milik orang lain dan satu pasport India dan Pakistan, masing-masing disyaki palsu.

Turut dirampas, satu Bangladesh, 26 keping Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) disyaki palsu, dua keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) disyaki palsu, dua buah komputer riba dan sebuah pencetak.

“Kesemua PATI ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” ujarnya. – MalaysiaGazette