KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama syarikat konsesi lebuh raya akan mempergiatkan hebahan tentang pelaksanaan sistem SmartLane pada musim perayaan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, ia bagi mengelakkan pengguna lebuh raya keliru hingga menyebabkan kemalangan.

“Kita sudah ada kemalangan melibatkan SmartLane dan telah diviralkan.

“Mungkin lebih banyak advokasi atau hebahan perlu dibuat oleh konsesi lebuh raya dengan kerjasama PDRM kepada pengguna-pengguna lebuh raya.

“Sebab SmartLane ini bukan berterusan, dia ada hari-hari dan jam-jam tertentu yang kita terpaksa menggunakannya untuk menyuraikan keadaan trafik,” katanya pada sidang media, di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat sekurang-kurangnya dua video tular memaparkan situasi tegang membabitkan penunggang motosikal yang memarahi pemandu kenderaan kerana menggunakan lorong SmartLane.

Malah, terdapat situasi di mana kereta pemandu terlibat dirosakkan oleh penunggang yang dipercayai tidak mengetahui mengenai inisiatif tersebut.

Media melaporkan Plus Malaysia Berhad (Plus) mengumumkan pengaktifan lorong SmartLane di 14 lokasi strategik untuk membantu melancarkan aliran trafik semasa waktu puncak sempena sambutan cuti perayaan Tahun Baharu Cina 2024.

Bagi sambutan Tahun Baharu Cina, laluan Smartlane dibuka pada 8 hingga 18 Februari ini. – MalaysiaGazette