Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto SYADILA AMARI, 26 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kes jenayah komersial di negara ini mencatatkan nilai kerugian lebih RM558.6 juta sehingga minggu keenam pada tahun ini berbanding jumlah kerugian melebihi RM181.6 juta yang direkodkan untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah kerugian itu melibatkanĀ 4,741 kes jenayah komersial.

“Jumlah kerugian yang begitu besar ini menunjukkan peningkatan ketara kerugian wang membabitkan mangsa kes berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 3,530 kes dan nilai kerugian RM181,610,712.86.

“Ia sekaligus menyaksikan kes bagi tahun 2024 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 34.3 peratus manakala nilai kerugian mencatatkan kadar peningkatan yang cukup besar dengan 207.6 peratus,” katanya.

Ramli Mohamed berkata demikian dalam sidang akhbar mingguan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini hari ini.

Tambahnya lagi, perubahan senario jenayah komersial dalam negara ini menuntut ketekunan dan kesungguhan warga JSJK untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik khususnya dari aspek siasatan dan pembanterasan.

“Hasilnya, sepanjang 1 Januari hingga 11 Februari 2024 sebanyak 2,065 kertas
siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah iaitu bersamaan dengan 49 peratus daripada keseluruhan kertas siasatan yang dibuka.

“Jumlah ini juga adalah lebih tinggi berbanding angka yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun 2023 iaitu 1,736 kertas siasatan telah dituduh di mahkamah,” katanya.

Tegasnya lagi, trend peningkatan kes jenayah komersial serta nilai kerugian berjumlah besar yang direkodkan sejak awal tahun ini merupakan satu cabaran kepada JSJK sendiri dalam menanganinya.

“Usaha perlu dilipatgandakan untuk membanteras kegiatan jenayah komersil habis-habisan serta holistik bagi memastikan tiada lagi mangsa yang tertipu dan terjerat dalam perangkapĀ  sindiket jenayah komersial.

“Selain itu, penglibatan setiap lapisan masyarakat amat penting untuk memainkan peranan masing-masing khususnya dalam usaha pencegahan jenayah ini dan tanggungjawab itu tidak hanya terletak di bahu polis,” jelas beliau.- MalaysiaGazette