MESIR – Imej satelit nampaknya menunjukkan kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan di sepanjang sempadan Mesir dan Gaza, dipercayai sebagai persediaan untuk menempatkan pelarian Palestin.
Sumber Mesir yang tidak dinamakan dilaporkan berkata kerja itu sedang dilakukan untuk menubuhkan zon penampan dengan ‘rumah kotak berdinding’ di wilayah Sinai dekat utara Mesir sekiranya Israel meneruskan serangan darat di Rafah.
Menurut laporan yang diterbitkan oleh kumpulan hak asasi manusia, tembok setinggi tujuh meter sedang dibina di zon itu.
Namun, Mesir secara terbuka menafikan membuat sebarang persiapan sedemikian.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, pihaknya “tidak berniat untuk memindahkan orang awam Palestin ke Mesir”.
Sejak bermulanya perang Gaza berikutan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober, Mesir secara konsisten berkata, negaranya tidak akan membuka sempadannya kepada pelarian.
Ia telah mengambil pendirian itu kerana ia tidak mahu kelihatan bersubahat dalam pemindahan besar-besaran rakyat Palestin, tetapi juga kerana kebimbangan ekonomi dan keselamatan.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu nampaknya akan melancarkan serangan besar di Rafah – lokasi yang menempatkan kira-kira 1.4 juta orang berlindung, walaupun terdapat amaran antarabangsa.
Israel mendakwa, tentera Hamas berada di bandar itu dan mesti “dihapuskan”.
Rajim zionis itu juga percaya tebusan Israel, kira-kira 130 masih belum ditemui dan ditahan di sana.
Menjelang serangan yang dirancang ke atas Rafah, Israel mengarahkan orang awam untuk bergerak ke kawasan terbuka di utara bandar itu.
Netanyahu secara samar-samar berkata, “kawasan yang telah kami bersihkan di utara Rafah”, tetapi petunjuk menunjukkan perancangan masih di peringkat awal.
Israel sebelum ini telah mengarahkan rakyat Palestin untuk menuju ke Rafah sementara pertempuran berterusan di utara jalur itu pada permulaan serangannya.
“Kami akan berjuang sehingga kemenangan lengkap dan ini termasuk tindakan yang kuat juga di Rafah selepas kami membenarkan penduduk awam meninggalkan zon pertempuran,” kata Netanyahu.
Imej satelit terkini yang dikeluarkan oleh Maxar Technologies, mencadangkan Mesir telah memutuskan untuk mengambil langkah berjaga-jaga akibat daripada serangan yang akan berlaku. – Agensi