Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak membuat pusingan U dalam isu gred beras putih seperti yang didakwa, sebaliknya ia merupakan satu cadangan dan masih belum lagi diputuskan Kabinet, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

“Pada waktu ini, belum ada pemakluman atau perbincangan di Kabinet mengenai ketetapan (satu gred beras putih) tersebut. Jadi ia bukanlah U-turn (pusingan U).

“Bagaimanapun, saya lihat kenyataan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal itu berniat baik dan hasratnya ialah untuk membantu mengurangkan harga barang,” katanya.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan dan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatan Parlimen Lembah Pantai di Masjid Al-Khadijah, Pantai Dalam, di sini hari ini.

Beliau berkata, selain itu, dalam konteks ekosistem beras, perbincangan dan penyelarasan juga perlu dilakukan bersama pengusaha, pekedai dan peruncit.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan belum membuat ketetapan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini, yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia MADANI.

Mohamad berkata sebarang pengumuman atau ketetapan yang dibuat mesti berpandukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522], serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Kenyataan itu susulan daripada pengumuman Syed Abu Hussin Hafiz pada 14 Feb, yang dilaporkan berkata tiada lagi kategori Beras Putih Tempatan (SST) dan Beras Putih Import (SSI) melainkan Beras Putih Malaysia MADANI sebagai kategori tunggal.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilapor berkata isu harga kawalan beras, akan menjadi salah satu agenda utama pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), minggu depan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Fahmi berkata langkah menjenamakan semula Pusat Ekonomi Digital (PEDi) telah diteliti secara menyeluruh, yang bukan hanya melibatkan perubahan pada nama namun juga fungsinya.

“Biarlah PEDi ini dapat memanfaatkan lebih ramai orang dan untuk itu ia perlu direncanakan dengan baik, kerana ada sesetengahnya memerlukan hubungan yang baik dengan beberapa agensi seperti Rukun Tetangga, Jabatan Penerangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Semalam, Fahmi berkata PEDi dijangka dijenamakan semula menjelang suku kedua tahun ini dan ia perlu dibuat berdasarkan kepada pengalaman dan pengamatan di lapangan, yang mendapati orang ramai hadir ke PEDi untuk pelbagai aktiviti yang tidak melibatkan ekonomi digital. – BERNAMA