Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan mengadakan mesyuarat khas mengenai Beras Putih Malaysia Madani esok.

Ketua Kluster Makanan NACCOL Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, keputusan muktamad berhubung perkara itu akan dicapai esok.

Tambah beliau, satu pengumuman akan dibuat selepas mesyuarat berkenaan tamat dan meminta agar spekulasi berhubung Beras Putih Malaysia Madani dihentikan.

“Kita tunggu kata putus selepas mesyuarat (NACCOL) esok. Saya akan memberi ulasan lanjut kemudian, tetapi cukuplah buat masa ini (untuk bercakap mengenai beras putih),” katanya kepada New Straits Times, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini bahawa kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai isu Beras Putih Malaysia Madani.

Mohamad juga bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan cadangan tersebut akan dibincangkan secara kolektif dalam Mesyuarat NACCOL.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan, Syed Abu Hussin membatalkan taklimat media mengenai isu berkenan yang dijadualkan berlangsung esok.

Pada 14 Januari lalu Syed Abu Hussin mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram (kg) sekampit.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ini tahun 2024 bukan tahun 1999. Kenapa rakyat Malaysia kecoh kenaikan harga beras? Harga beras jika pun sekilo RM4. 50 ini adalah harga paling rendah berbanding dengan negara-negara jiran. Tiada sejarah rakyat negara jiran tidak mampu makan nasi. Malah beras import 40% bagi menampung kekurangan dilihat berlambak membanjiri pasaran membuktikan rakyat tiada mati kerana kelaparan. Formula ini mudah beras MAHAL dilihat tidak mendapat sambutan dan tiada berita rakyat Malaysia mati kelaparan nasi. Formula ini 100% tepat maknanya rakyat telah makan nasi dari beras murah. Bimbang tentang kehilangan beras murah hanya ilusi murahan individu yang mempunyai HAJAT merosakkan kepimpinan Malaysia. Seharusnya pihak media juga perlu diberi SEKOLAH khas oleh PMO kerana menyebarkan berita kurang tepat.

Comments are closed.