Gambar hiasan

Oleh: Mohd Ridwan Talib & Mohd Hazmi Mohd Rusli

Prakata

Nik Elin Zurina & Tengku Yasmin Natasha lawan kerajaan negeri Kelantan ialah sebuah kes yang berlangsung di Mahkamah Persekutuan. Isu undang-undang yang dibawa ke mahkamah tertinggi di Malaysia ialah berkenaan percanggahan bidang kuasa menggubal antara kerajaan Persekutuan yang menggubal undang-undang jenayah, iaitu Kanun Keseksaan di Parlimen (Dewan Rakyat) dan kerajaan negeri Kelantan yang menggubal undang-undang jenayah Syariah melalui Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. Dalam enakmen tersebut, terkandung beberapa peruntukan undang-undang ta’zir.

Fokus utama perbicaraan ialah untuk mencabar kesahihan beberapa peruntukan dalam enakmen tersebut yang dihujahkan bercanggah (ultra vires) dengan Perlembagaan Persekutuan. Jika benar ianya bercanggah, peruntukan enakmen tersebut perlu dibatalkan oleh mahkamah (bukannya keseluruhan enakmen itu). Malangnya, kes ini mencetus kontroversi apabila segelintir protagonis Islamik menganggapnya sebagai ancaman terhadap sistem perundangan Syariah dan berniat meruntuhkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia.

Belenggu undang-undang di mahkamah syariah

Dalam Iki Putra Mubarak, isu yang serupa telah dibawa ke Mahkamah Persekutuan. Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor 1995 telah dicabar dan DUN Selangor dikatakan telah melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan semasa menggubal seksyen tersebut. Seksyen 28 ialah berkaitan dengan jenayah melakukan aktiviti seks diluar tabii manusia yang sepatutnya melibatkan pesalah Muslim saja.

Dalam Kanun Keseksaan, Seksyen 377 dan 377A juga memperuntukkan kesalahan yang serupa. Perbezaannya, Seksyen 377 dan 377A terpakai untuk pesalah Muslim dan bukan Muslim. Ini bermaksud, jika suatu jenayah liwat melibatkan pesalah Muslim dan bukan Muslim (seperti yang berlaku dalam kes Iki Putra), maka Seksyen 377 atau 377A akan terpakai, bukannya Seksyen 28. Mengapa hal ini berlaku?

Semasa membuat keputusan sebulat suara, para hakim telah terlebih dahulu meneliti dan menggunapakai prinsip perundangan dalam kes Sulaiman Takrib. Kes Sulaiman Takrib telah merumuskan satu ‘formula’ untuk menentukan skop bidang kuasa DUN dalam menggubal enakmen jenayah Syariah.

Menurut formula ini, setiap DUN di Malaysia hanya berkuasa untuk menggubal enakmen jenayah Syariah jika pertama, ia hanya melibatkan orang Islam. Kedua, ia merupakan jenayah terhadap ajaran Islam. Ketiga, jenayah tersebut berada diluar Senarai I (senarai bidangkuasa kerajaan Persekutuan) dalam Perlembagaan Persekutuan. Akhir sekali yang keempat, bentuk hukuman jenayah itu mesti tertakluk kepada had ‘356’ yang telah ditetapkan dalam Seksyen 2, Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai ‘Akta 355’.

Had ‘356’ merujuk kepada lingkungan kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia yang hanya boleh menjatuhkan hukuman maksimum samada 3 tahun penjara, RM5,000 denda atau 6 kali sebatan rotan dalam semua jenis kes jenayah Syariah. Inilah yang dimaksudkan sebagai belenggu undang-undang yang sentiasa merencatkan proses keadilan di Mahkamah Syariah di Malaysia.

Dalam kes Iki Putra, para hakim mendapati tujuan DUN Selangor semasa menggubal Seksyen 28 ialah untuk turut mendakwa orang bukan Islam atas kesalahan liwat. Tambahan pula, liwat ialah jenayah yang sudah pun tersenarai dibawah bidangkuasa kerajaan Persekutuan dalam Senarai I. Ini jelas gagal mematuhi formula undang-undang yang digariskan dalam kes Sulaiman Takrib. Maka, Seksyen 28 telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Penulis berpendapat, jika wujud pertindihan atau konflik antara peruntukan jenayah dalam enakmen jenayah syariah dengan Kanun Keseksaan, maka keutamaan wajib diberikan kepada Kanun Keseksaan seperti yang dinyatakan dalam Artikel 75 Perlembagaan Persekutuan. Jika selama ini masyarakat tidak pernah merungut tatkala pesalah Muslim dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi untuk jenayah seperti mengedar dadah, rogol, pecah amanah dan bunuh di mana undang-undang jenayah Syariah tidak dilaksana untuk mengadili mereka, mengapa tidak beberapa kesalahan jenayah kecil lain yang melibatkan orang Islam dibicarakan di mahkamah yang sama? Dengan segala kelebihan infrastruktur, sumber manusia dan pelaksanaan undang-undang yang efisyen, bukankah lebih baik jenayah seperti liwat dibicarakan di mahkamah sivil?

‘Isi dan kulit’

Hakim-hakim dalam kes Mamat Bin Daud, Sulaiman Takrib dan Iki Putra Mubarak telah menggunakan pendekatan yang dianggap terbaik dan realistik dalam menentukan skop bidangkuasa menggubal undang-undang Islam. Kaedah ini dinamakan ‘Isi dan Kulit’ atau Pith and Substance dalam bahasa Inggeris. Bekas Hakim Mahkamah Agung Eusoff Abdoolcader dalam Mamat Bin Daud (1988) berkata, kaedah ‘isi dan kulit’ akan menganalisis keseluruhan aspek undang-undang yang digubal untuk menentu pasti wajah dan karakternya yang sebenar. Penelitian terperinci dibuat khususnya terhadap ‘isi’ undang-undang tersebut untuk memutuskan sama ada ianya terletak dibawah bidangkuasa kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri.

Soalnya, bukanlah mahkamah syariah cemerkap dan hakim Syarie pula melindap untuk memutuskan kes jenayah Syariah. Isu sebenarnya ialah mahkamah syariah dan Hakim syarie di Malaysia tidak ada bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskannya. Jika dijatuhi hukuman sekalipun, ia masih tertakluk kepada peraturan ‘356’. Adakah ini yang dinamakan keadilan melalui undang-undang? Bukankah Allah s.w.t telah berfirman surah an-Nisa ayat 58, “Dan apabila kamu menjalankan hukuman antara manusia, Allah menyuruh kamu untuk menghukum dengan adil”.

Jujurnya, isu yang sepatutnya diketengahkan ialah jalan buntu yang telah menimpa nasib Rang Undang-Undang 355 (‘RUU 355’) – satu lagi isu sensitif dalam kalangan umat Islam Malaysia. Oleh yang demikian, keputusan Mahkamah Persekutuan yang diumum oleh Ketua Hakim Negara wajar dipuji kerana ia ibarat penyelesaian serampang dua mata. Bukan saja keputusan ini selari dengan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia di bawah Artikel 4 malah, keadilan dalam konteks sebenar berjaya ditegakkan kerana pesalah Islam dan bukan Islam akan diadili secara saksama di mahkamah peringkat Persekutuan.

Kesimpulan

Sebenarnya, jika keputusan dalam kes-kes Sulaiman Takrib, Iki Putra Mubarak dan Nik Elin Zurina diperhalusi dengan ilmu dan kewarasan, nukilan para hakim yang teramat bijaksana telah memperkasa status undang-undang jenayah Islam di Malaysia. Bahkan, jauh sekali mereka berniat menginjak-injak martabat Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan.

Ironinya, orang Islam Malaysia seakan masih tidak belajar daripada kesilapan terdahulu seperti yang dipaparkan dalam penghakiman kes Sulaiman Takrib dan Iki Putra untuk membentuk kefahaman jelas tentang pelaksanaan undang-undang jenayah Islam di Malaysia.

Jutaan ucapan terima kasih seharusnya dititipkan kepada barisan hakim atas kearifan mereka menegur dan mengusul cadangan kearah kelestarian dan keharmonian sistem perundangan Islam di Malaysia.

Mohd Ridwan Bin Talib dan Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah pensyarah undang-undang di universiti tempatan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast