Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama pengunjung di Karnival MAIWP Tahun 2024 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 18 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR –  Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menyambut perayaan jubli emas penubuhannya ke-50 pada 1 Februari lalu terus menjadi sandaran dan harapan umat Islam terutama golongan asnaf.

Penganjuran Karnival MAIWP 2024 yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuktikan bahawa peranan majlis agama itu amat penting dalam membangunkan ekonomi umat Islam.

Bertemakan 50 Tahun Memacu Kegemilangan Ummah, sejumlah 20 daripada 100 reruai yang disediakan terdiri daripada usahawan asnaf yang telah berjaya hasil bantuan MAIWP.

Temubual bersama usahawan Nurul Zetty Huda yang menerima bantuan MAIWP di Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tahun 2024 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 18 FEBRUARI 2024.

“Ini tahun kedua saya sertai Karnival MAIWP. Saya dapat bantuan perniagaan pada 2018. MAIWP beri banyak kursus dengan pelbagai agensi seperti FAMA. Mereka tawarkan tapak berniaga jika melakukan sebarang program seperti karnival hari ini. Alhamdullilah perniagaan saya telah berkembang,” kata pemilik perniagaan Dolce by Zetty, Nurul Zetty Huda, 40.

“Saya menjalankan perniagaan nasi lemak berlauk tapi kalau ada majlis seperti hari ini saya jual coklat. Saya mendapat bantuan MAIWP pada 2020 dan beri banyak peluang untuk mengikuti program usahawan. Alhamdullilah, hari ini ramai pengunjung dan jualan memang laris,” kata  Mohamad Zulhairy Mohamad Khair, 34  yang memiliki perniagaan MNG Kitchen.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan sumbangan kepada anak-anak Asnaf di Karnival MAIWP 2024 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 18 FEBRUARI 2024.

Karnival MAIWP 2024 bermula seawal pukul 6.30 pagi dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar melakukan pelepasan 500 peserta Fun Run.

Perdana Menteri tiba pada pukul 10.30 pagi dan menyampaikan ucapan selain melakukan kunjungan di reruai yang dibuka.

Turut bersama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Ribuan pengunjung yang hadir bersama keluarga didedahkan mengenai peranan dan perkhidmatan yang disediakan MAIWP terutama aspek pendidikan, keusahawanan, kesihatan dan kebajikan melalui 40 reruai yang dibuka.

Turut diadakan aktiviti pertandingan kanak-kanak, persembahan Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pengunjung tidak melepaskan peluang membeli barangan ‘Jualan Harga Rahmah’ ketika Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tahun 2024 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 18 FEBRUARI 2024.

“Karnival ini satu usaha yang baik kerana mempromosikan perkhidmatan dan bantuan yang ditawarkan oleh MAIWP kepada golongan sasar seperti asnaf. Ini satu pendedahan kepada masyarakat supaya kita faham fungsi sebenar MAIWP,” kata Wan Mohamad Farhan, 36.

“Saya dapat apa yang hendak saya cari dalam karnival ini iaitu beras 10 kilogram berharga RM28.20 di reruai Jualan Rahmah Madani. Tempat lain memang tak dapat harga ini. Kalau boleh nak beli banyak tapi masalah parkir kereta jauh dan saya seorang pula,” kata Mohamad Abdullah, 35.

Sementara itu rata-rata mereka yang ditemui berterima kasih dan kagum dengan kecemerlangan MAIWP melaksanakan agenda pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan khususnya menerusi agihan zakat.

Mereka berharap majlis agama tersebut terus membantu umat Islam terutama golongan asnaf yang terdiri daripada fakir dan miskin.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga terdapat di Karnival MAIWP 2024 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 18 FEBRUARI 2024.

“Selamat ulang tahun jubli emas kepada MAIWP dan terima kasih kerana membantu umat Islam terutama dalam membangkitkan ekonomi golongan muda segi dengan menyediakan kursus kerjaya dan bantuan perniagaan,” kata Haryati Abdul Razak, 61.

“Saya mendapat bantuan perniagaan pada 2019 sebanyak RM3,000 dan kini merupakan pengilang pelbagai jenis biskut dan sudah membekalkannya di beberapa hospital dan cafe. Kepada MAIWP terima kasih sebab banyak membantu, terima kasih kepada pembayar zakat. Insya-Allah saya pun akan menjadi pembayar zakat yang baik,”kata pemilik syarikat Cocoki by Kins, Nurul Asyiqin Mohd. Ramli, 34.

Tahun lalu MAIWP telah berjaya mengutip zakat berjumlah RM1.03 bilion dan 93 peratus atau RM952.27 juta daripadanya telah diagihkan kepada lapan golongan asnaf.

MAIWP juga berjaya mengurangkan kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan yang kini berbaki 8 peratus dan masih perlu dibantu.

Program yang dilaksanakan antaranya adalah Bantuan Kewangan Bulanan berjumlah antara RM500 hingga RM1,000 kepada 30,000 penerima di Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette