KUALA LUMPUR – Kampung-kampung baru Cina di Selangor didakwa tidak ada istimewanya untuk dijadikan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Ia hanya perkampungan lama yang kini sudah ada pembangunan baharu di situ, jadi ia sama sahaja dengan kampung-kampung yang lain.
Oleh itu, Felo Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Teo Kok Seong berpandangan adalah tidak wajar perkampungan itu hendak diiktiraf sebagai tapak UNESCO.
Namun, ia berbeza jika perkampungan Melayu yang hendak diangkat sebagai tapak warisan kerana negara ini ada tuannya, malah sebelum penjajahan lagi.
“Tuannya adalah orang Melayu dan negara ini ada sejarahnya.
“Jadi kalau negara ini ada sejarahnya, orang Cina dan India datang ke sini, mereka menumpang hidup di sini atas ihsan orang Melayu.
“Dan orang Melayu menerima mereka dengan memberi kerakyatan (kepada orang Cina dan India),” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi.
Oleh itu, tokoh sejarah negara ini menegaskan, sebarang bentuk pengiktirafan etnik tidak boleh bersifat 100 peratus kaum-kaum tersebut.
Menegaskan perkara itu, Kok Seong berkata, kerajaan boleh bercadang untuk menjadikan perkampungan Cina baba nyonya di Melaka kerana di situ ada campuran pengaruh dan budaya Melayu.
Begitu juga dengan perkampungan chetti India di Melaka.
“Kalau pun perkampungan Portugis diangkat sebagai tapak UNESCO, ia ada dipengaruhi budaya Melayu. Sebab itu di situ ada makanan dinamakan devil curry.
“Mana mungkin orang Barat ada makanan asalnya kari ini (devil curry), jadi itu ada asimilasi,” tambahnya.
Asimilasi merupakan satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama.
Kok Seong turut mengulas seandainya ada pihak yang mempertikaikan jika cadangan mengangkat kampung baru Cina tidak boleh tetapi kampung Melayu boleh.
“Bagi saya kalau nak angkat kampung Melayu dan (penduduk) Melayu 100 peratus tidak mengapa sebab ini tanah Melayu, mereka penduduk asal. Kalau diangkat entiti Melayu, ia mewakili negara ini. Ini negara Melayu.
“Apabila diangkat entiti Cina sepenuhnya, ia macam tak kenalah. Entiti Cina yang hendak diangkat itu perlu ada pengaruh campuran Melayu seperti baba nyonya, chetti India dan nasrani Portugis,” ujar beliau lagi.
Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, beliau tidak pasti sama ada orang Cina berbangga dengan cadangan tersebut.
Ia kerana, kewujudan 600 kampung baru Cina di negara ini ada reputasi tidak baik dan sejarah hitam untuk Malaysia dan British.
Sejarah kampung-kampung ini sama – dibentuk, dibangun dan dibina atas dasar untuk mengekang penduduk kaum Cina daripada bersubahat dan menyokong Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1948 yang menjadi musuh negara ketika itu.
“Ada unsur tidak setia di situ. Takkan orang Cina mahu bangga dengan satu bahagian sejarah mereka di negara ini yang pada satu ketika dilihat sebagai pengkhianat, tak setia pada pemerintah tidak kiralah walaupun pada penjajah.
“Itu sejarah hitam, saya kira kita tidak patut berkongsi dengan dunia.
“Takkan kita hendak buka aib, (kampung baru) sebahagian daripada babak memperlihatkan kaum Cina bersubahat dengan musuh negara,” katanya.
Sedangkan, aspek yang akan dipertimbangkan untuk tapak UNESCO ialah sudut positif pada tapak tersebut, lokasi itu menjadi kebanggaan negara, kepentingannya dalam sejarah kepada negara.
Jadi, beliau tidak pasti sama ada orang Cina sedar dengan nilai ini tetapi ia tidak sepatutnya diangkat mewakili Malaysia dan etnik tersebut. – MalaysiaGazette